» » Ratu cantik gesa rakyat Malaysia bersatu berdepan situasi sukar pada tahun 2016 ini


Rakyat Malaysia perlu bersatu di tengah-tengah kegawatan ekonomi dan politik negara, kata Kiran Jassal yang baru dinobatkan Miss Universe Malaysia, sambil turut menggesa rakyat memainkan peranan dengan mengambil bahagian dalam proses politik dan pilihan raya di negara ini.

Kiran, 20, dari Subang, mengakui negara menghadapi "masalah" tetapi menggesa rakyat Malaysia tidak putus asa dan terus berjuang.

"Lebih daripada sebelum ini, kita perlu bersatu dan mempunyai ketahanan mental menghadapi cabaran ini dan menjadi lebih kuat daripadanya," kata pelajar pergigian International Medical University (IMU) itu dalam temu bual eksklusif dengan The Malaysian Insider baru-baru ini.

"Semua negara di seluruh dunia kini sedang menghadapi masalah mereka sendiri, sama seperti Malaysia.

"Sangat penting untuk kita kekal fokus kepada objektif untuk terus maju dan menjadi negara yang lebih baik."

Kiran berkata, penglibatannya dalam Miss Universe Malaysia menunjukkan kepadanya bagaimana pertandingan ratu cantik boleh merapatkan jurang dan perbezaan.

Beliau menambah, pertandingan ratu cantik itu adalah pencetus semangat yang amat diperlukan bagi rakyat Malaysia yang kini lelah berdepan sentimen negatif semasa.

"Saya rasa pertandingan ratu sama seperti sukan. Di mana saja kedudukan negara kita, ia sentiasa akan menaikkan semangat.

"Pertandingan ratu cantik tiada unsur politik dan ia memperkasakan wanita, jadi saya fikir 2 perkara ini lebih utama berbanding perkara lain."

Kiran berkata adalah penting bagi golongan belia di negara ini mempunyai kesedaran politik tentang hak mereka, bagi memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan negara.

"Sebagai rakyat negara ini, kita perlu terlibat sepenuhnya dalam pilihan raya dan faham akan hak mengundi kita," katanya.

Kiran yang tingginya 174cm, mengalahkan 13 peserta akhir lain untuk dinobatkan Miss Universe Malaysia 2016 Sabtu lepas di acara kemuncak gala di Palace of the Golden Horses.

Beliau akan mewakili negara pada pertandingan Miss Universe pada akhir tahun ini dan merancang untuk mempersembahkan kepada dunia kesatuan perpaduan Malaysia yang dipenuhi kepelbagaian.

"Kita mempunyai begitu banyak kaum dan agama, bukan hanya 3 yang utama, dan saya fikir sangat penting untuk mempromosikan perkara ini bagi menonjolkan Malaysia di peta dunia.

"Ramai salah faham hanya kerana terdapat begitu banyak kaum di Malaysia bermakna kita tidak bersatu. Tetapi itu tidak benar," katanya.

Seorang pencinta buku yang lebih selesa duduk di rumah, menjadi ratu cantik bukan perkara mudah untuk Kiran kerana beliau baru saja menceburi industri ini.

"Apabila saya mula melakukan peragaan, saya banyak menghentak kaki dan lutut saya jadi terkehel.

"Saya pulang ke rumah selepas setiap kali kem dan berlatih berjalan setiap hari, sehingga kaki saya sakit dan melepuh.

"Tetapi akhirnya, ia membuahkan hasil," katanya mengenai latihan yang perlu dilalui semua peserta sebelum pertandingan ratu cantik.

Selepas tempohnya sebagai ratu cantik berakhir, Kiran berkata beliau akan meneruskan pengajiannya di IMU dan mahu membuka pusat ortodontik sendiri.

"Selain itu, saya masih ingin terus terlibat dalam industri ini, mungkin sebagai hos televisyen atau pengacara majlis."

Tetapi buat masa ini, beliau akan bekerja keras selama setahun untuk membanggakan Malaysia di peringkat antarabangsa dalam Miss Universe.

Beliau berharap dapat menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk terus optimis tentang masa depan negara.

"Pertandingan ratu kecantikan tiada diskriminasi kepada bangsa dan agama.

"Saya daripada golongan minoriti dan merupakan Punjabi pertama memenangi Miss Universe Malaysia.

"Saya fikir ia lebih berkaitan dengan bagaimana anda membawa diri dan keyakinan. Ia tiada kaitan dengan identiti kaum dan agama," katanya.

"Daripada pengalaman peribadi saya, dalam pertandingan ratu cantik, kami semua bersatu.

"Tanpa mengira siapa, kami berkumpul bersama, berkongsi pandangan dan saling membantu antara satu sama lain.

"Saya fikir ini boleh menjadi satu kaedah yang sangat baik untuk memakmurkan Malaysia."

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .