» » Rakyat Malaysia diseru tandatangan petisyen gesa siasatan atas Najib Razak berkaitan skandal RM2.6 bilion dibuka semula


Rakyat Malaysia dijemput menandatangani petisyen maya yang akan diangkat PKR kepada Yang Di Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu memohon campur tangan mereka supaya siasatan terhadap dana dalam akaun bank peribadi perdana menteri dapat dibuka semula.

Pengguna media sosial juga diseru supaya “Like” laman Facebook "1 Juta Desak Buka Kembali Siasatan Terhadap Najib Razak".

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, beliau mengambil inisiatif melancarkan kempen yang mensasarkan sejuta orang itu susulan laporan The New York Times Jumaat lalu.

Akhbar itu memetik Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir menyatakan wang AS$681 juta itu bukan sumbangan politik, tetapi pelaburan dari seorang warga Saudi.

Rafizi berkata, kenyataan itu menyangkal kenyataan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali kononnya dana itu adalah derma dan menimbulkan beberapa persoalan baru.

"Datuk Seri Najib Razak bukan seorang ahli perniagaan atau pakar pelaburan. Beliau tidak mempunyai apa-apa perniagaan.

"Seorang warganegara Arab Saudi tidak akan memberikan wang sebanyak RM2.6 bilion kepada beliau untuk dilaburkan kerana pelaburan bukanlah kepakaran beliau," kata Rafizi.

Katanya dalam kenyataan hari ini, jika dana RM2.6 bilion itu adalah bagi tujuan pelaburan, ia mesti melibatkan syarikat dan aset tertentu.

Beliau mendakwa, dana itu ada kena mengena dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana syarikat itu sendiri sebelum ini mewar-warkan pelaburannya melibatkan individu tertentu dari Arab Saudi.

"Oleh yang demikian, saya mendesak supaya peguam negara membuka semula dengan serta merta kertas siasatan dan pendakwaan terhadap Najib, mengambil kira perkembangan terbaru ini.

"Saya juga mengingatkan peguam negara supaya menggunakan sepenuh kuasa di bawah Perjanjian Bantuan Guaman Bersama (Mutual Legal Assistance) dengan negara yang sedang menyiasat 1MDB dan/atau Najib termasuklah Switzerland, Singapura dan Amerika Syarikat.

Petisyen itu boleh didapati di LINK PETISYEN.

Rafizi berkata, beliau yakin rakyat tidak boleh berdiam diri dan membiarkan sahaja perkara itu ditutup apabila peguam negara menutup kes itu.

"Dengan desakan rakyat, saya yakin Najib boleh dihadapkan ke mahkamah," katanya.

sumber




About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .