» » Penjelasan 1MDB bercanggah kenyataan terdahulu


Penjelasan terkini 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mengenai penjualan Bandar Malaysia bercanggah dengan kenyataan awalnya dan hanya menambah kepada kekeliruan mengenai perjanjian itu, kata Ahli Parlimen DAP Tony Pua hari ini.

Beliau berkata kenyataan 1MDB semalam mendedahkan, konsortium Iskandar Waterfront Holdings (IWF) – China Railway Engineering Corporation (CREC) membeli 60% daripada sebuah syarikat khas (SPV) yang baru diwujudkan, yang kemudiannya akan mengambil alih sebahagian tanah di Bandar Malaysia.

Katanya, ia bercanggah dengan pengumuman 1MDB dan CREC yang konsortium itu membeli 60% ekuiti dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd.

"Walaupun mungkin di mata orang biasa kita seperti sengaja membangkitkan isu remeh, perbezaan yang halus tetapi jelas dalam perjanjian jual beli saham itu mempunyai implikasi luas dan memerlukan penjelasan lebih lanjut," kata Pua dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kenyataan terbaru 1MDB menimbulkan persoalan mengenai pengumuman CREC kepada Bursa Saham Hong Kong yang ia memperoleh 60% daripada Bandar Malaysia, bukannya SPV.

Beliau juga mendakwa, nasib tanah di Bandar Malaysia itu kini tidak menentu memandangkan SPV tersebut masih belum mengambil alih bahagian itu dan ia masih tertakluk kepada rundingan.

"Seperti yang dinyatakan sebelum ini, bagi mengelak kehilangan kredibiliti lebih teruk, kami menyeru para pengarah 1MDB segera bersetuju untuk mengumumkan perjanjian jual beli saham antara 1MDB dan Konsortium IWH-CREC," kata Pua.

"Ini bagi memastikan rakyat Malaysia dapat memahami terma urus niaganya yang tepat, bukan versi digembar-gemburkan yang 1MDB mahu rakyat Malaysia percaya."

Perjanjian itu menjadi perhatian berikutan laporan wujud perbezaan dalam kos tawarannya berdasarkan pengumuman 1MDB dan CREC.

1MDB berkata pada 31 Disember, urus niaga Bandar Malaysia dengan konsortium itu bernilai RM7.41 bilion dan ia sudah membayar wang pendahuluan 10%.

Tetapi CREC melalui satu makluman kepada Bursa Saham Hong Kong pada Isnin berkata, ia membayar RM5.28 bilion untuk usaha sama 60% dengan IWH itu.

Menjelaskan percanggahan itu, 1MDB berkata ia menjual tanah yang dimilikinya, tetapi terdapat 2 liabiliti yang secara tidak langsung dikaitkan dengan tanah itu.

Ini termasuk baki kos melengkapkan penempatan semula pangkalan udara di Sungai Besi, dan Sukuk Bandar Malaysia - hutang di Bandar Malaysia Sdn Bhd (nilai nominal RM2.4 bilion pada tempoh matang, nilai terkumpul kira-kira RM1.63 bilion pada 31 Disember, 2015).

Syarikat itu berkata, dalam mana-mana keadaan, pertimbangan mengenai pembelian berjumlah RM7.41 bilion kepada 1MDB itu tidak berubah.

Perbezaannya cuma sama ada 1MDB menerima wang itu dalam jumlah penuh, kemudian membayar kos, atau sama ada konsortium itu membayar bahagiannya sahaja daripada kos itu, dan meremit bakinya RM5.3 bilion kepada 1MDB.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .