Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali berjanji akan meneliti secara terperinci kertas siasatan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai SRC International dan wang RM2.6 bilion dalam akaun perdana menteri, tetapi berkata beliau memerlukan masa untuk berbuat demikian.
"Saya sedang mengkajinya dan anda perlu ingat, mereka mengumpul bukti daripada lebih 100 saksi, bukan ada satu fail, failnya setinggi saya.
"Dan perlu ingat, saya harus mengkajinya dengan teliti dan saya memberi jaminan kepada anda, saya akan menghalusi segala bukti yang dikemukakan," katanya kepada pemberita pada pembukaan Tahun Perundangan 2016 di Kuala Lumpur hari ini.
Pada 31 Disember, Timbalan Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata agensi itu sudah menyerahkan kertas siasatan selepas menemu bual lebih 100 orang, termasuk penderma RM2.6 bilion itu.
SPRM berkata ia juga sudah menyiasat SRC International berhubung dana RM4 bilion dan bukannya 1MDB.
Shukri berkata, siasatan ke atas wang RM2.6 bilion itu dibuat secara berasingan, sambil menambah ia belum selesai kerana hanya saksi di Malaysia yang sudah disoal.
Katanya, SPRM masih belum mendapatkan dokumen dan kenyataan melibatkan urus niaga kewangan di luar negara dan ia memohon bantuan peguam negara dalam hal itu melalui bantuan perundangan bersama.
Datuk Seri Najib Razak menafikan RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadinya itu datang daripada 1MDB atau beliau menggunakan wang itu untuk kepentingan peribadi.
Apandi juga berkata mereka yang merasakan terdapat gangguan terhadap siasatan dalam 1MDB bergantung kepada fakta yang salah.
"Saya ingin menegaskan, apa yang mereka sering ulangi selama ini, tidak berdasarkan fakta, tidak pernah ada sebarang campur tangan ke dalam siasatan 1MDB dan itu faktanya.
"Mengenai pegawai SPRM yang disoal, itu adalah kerana terdapat laporan polis yang dibuat mengatakan wujud kebocoran maklumat.
"Oleh sebab itulah polis mahu menyiasat, bukan bertujuan menghalang siasatan diteruskan. Tetapi rakyat menganggapnya satu campur tangan," katanya.
sumber
No comments: