Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini berkata keputusannya terhadap hasil dapatan siasatan mengenai RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan SRC International, akan dibuat mengikut saluran undang-undang.
“Saya akan kaji (kertas siasatan) mengikut undang-undang,” katanya kepada The Malaysian Insider menerusi sistem pesanan Whatsapp.
Menyatakan akan bertindak tanpa takut atau pilih kasih, Apandi berkata tiada pihak yang patut memberi tekanan kepadanya untuk melengkapkan tugasannya.
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu berkata demikian sebagai respons kepada dakwaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan Apandi akan mengabaikan syor Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai siasatan RM2.6 bilion itu dan SRC International.
Apandi, yang dilantik sebagai peguam negara pada Julai menggesa Dr Mahathir tidak menggunakan psikologi terbalik terhadapnya.
“Beliau hanya cuba memberi tekanan, dan saya tidak suka ia dilakukan terhadap saya,” katanya.
Dalam satu temu bual eksklusif dengan portal berita Free Malaysia Today hari ini, Dr Mahathir berkata Apandi sudah pun menolak laporan siasatan Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan perkara sama mungkin berlaku terhadap syor SPRM.
"Saya rasa beliau (Apandi) akan menolaknya (laporan SPRM) juga. Tapi itu sekadar ramalan saya," kata Dr Mahathir dipetik berkata semasa wawancara di pejabatnya di Putrajaya semalam.
Pada 31 Disember, Timbalan Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dalam satu kenyataan akhbar berkata agensi itu sudah menyerahkan kertas siasatan mengenai derma RM2.6 bilion dan SRC International, selepas menemu bual lebih 100 individu, termasuk penderma terbabit.
SPRM menyiasat SRC International berhubung dana RM4 bilion.
Siasatan terhadap derma RM2.6 bilion itu disiasat secara berasingan, tetapi Shukri berkata ia masih belum lengkap kerana hanya saksi di Malaysia saja sudah ditemu bual.
Katanya, SPRM masih belum memperoleh dokumen dan kenyataan membabitkan transaksi kewangan luar negara dan meminta bantuan peguam negara untuk mendapatkannya menerusi bantuan perundangan persefahaman.
Najib, yang juga menteri kewangan berkata RM2.6 bilion itu adalah derma dan semuanya dilakukan secara terbuka dan bersih.
Perdana menteri juga menafikan wang itu daripada dana awam atau berkait dengan syarikat pelaburan negara 1MDB.
sumber
No comments: