» » NOW dedahkan dakwaan menteri yang pertahankan SPRM bercanggah dengan tindakan yang dikenakan pda SPRM sebelum ini semasa siasat skandal RM2.6 bilion Najib Razak


Kenyataan Datuk Paul Low sedia mempertahankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada sebarang gangguan demi memelihara kredibiliti dan kelancaran operasi badan itu seolah-olah bercanggah dengan tindakan beliau sendiri sebelum ini, menurut Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) hari ini. 

Pengarah NOW Akmal Nasir berkata demikian merujuk kepada tindakan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebelum ini yang menasihatkan Datuk Seri Najib Razak agar tidak hadir ke Persidangan Anti Rasuah Dunia (IACC) di Putrajaya tahun lepas.

Beliau berbuat demikian ketika itu atas alasan keselamatan dan juga bertujuan melindungi perdana menteri daripada berdepan persepsi negatif.

Oleh itu, beliau bertanya dalam satu kenyataan, adakah Low, menteri bertanggungjawab hal ehwal integriti kerajaan, akan melindungi SPRM atau Najib, sekiranya menghadapi situasi yang sukar dan terpaksa membuat pilihan.

"Kebiasaannya, jaminan perlindungan hanya diberikan jika wujud ancaman atau ada kemungkinan berlakunya ancaman.

"Apakah bentuk tekanan, gangguan dan campur tangan yang dihadapi, sedang atau mungkin bakal dihadapi SPRM sehingga mendesak menteri untuk mempertahankannya?

"Apakah bentuk perlindungan yang boleh diberikan menteri kepada SPRM bagi menjamin integriti siasatan dan operasinya, selain daripada kesediaan bercakap secara terbuka?" soalnya.

Terdahulu hari ini, The Malaysian Insider melaporkan Low berjanji akan mempertahankan SPRM daripada sebarang campur tangan, ketika ada cakap-cakap kemungkinan ketua pesuruhjayanya akan diganti.

Akmal bertanya, sekiranya Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim terpaksa meletakkan jawatan lebih awal daripada tempoh tamat kontrak beliau pada 2018, adakah Low sedia mengambil tanggungjawab atas kegagalan mempertahankan SPRM dan bersedia turut meletakkan jawatan sebagai menteri.

The Malaysian Insider pada Isnin lalu melaporkan khabar angin mengenai Abu Kassim yang mungkin akan diganti selepas menyerahkan kertas siasatan kepada peguam negara mengenai syarikat milik Kementerian Kewangan SRC International Sdn Bhd, dan derma RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadi Najib.

Sumber memberitahu, keadaan kesihatan Abu Kassim mungkin digunakan sebagai alasan menggantikan beliau.

Akmal berkata, institusi seperti SPRM perlu diberi kebebasan daripada tekanan mahupun campur tangan politik dalam menjalankan tugasan dan tanggungjawab mereka.

"Yang pasti, rakyat masih ternanti-nanti kesudahan kepada siasatan skandal RM2.6 bilion dan mengharapkan pihak yang berkenaan dihadapkan ke muka pengadilan jika berlaku pelanggaran undang-undang atau wujudnya elemen rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa," katanya.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .