» » Janji yang rakyat Malaysia tidak perlu buat 2 kerja dan GST akan dihapuskan jika berjaya tubuh kerajaan baharu


Rakyat Malaysia tidak akan perlu melakukan 2 pekerjaan pada satu masa dan tidak juga akan 
dibebani dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di bawah kerajaan persekutuan yang ditadbir Pakatan Harapan, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, sekiranya pakatan pembangkang mengambil alih pentadbiran negara, dasar ekonominya akan memansuhkan cukai penggunaan itu dan masih mampu memberi bantuan wang tunai dalam bentuk BR1M.

Beliau berkata, ini dapat dilihat daripada cara kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah DAP yang mencatatkan lebihan belanjawan tahunan, hutang paras terendah dan rizab tunai yang lebih tinggi tanpa mengenakan sebarang GST.

"Rakyat Malaysia masih boleh menerima pembayaran BR1M tanpa GST dengan menguruskan kerajaan yang bersih dan menjalankan tender secara terbuka," kata Lim dalam perutusan Tahun Baru beliau.

Lim berkata, kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan tepat apabila menyatakan rakyat Malaysia memerlukan 2 pekerjaan untuk menampung kenaikan kos sara hidup, akibat kepincangan ekonomi di bawah pentadbiran parti pemerintah Barisan Nasional (BN).

Katanya, pelaksanaan GST pada April, ditambah dengan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta wang "derma" RM2.6 bilion yang tidak dapat dijelaskan, meninggalkan kesan buruk kepada negara.

Kesannya, antara lain, ialah hutang kerajaan persekutuan yang banyak, defisit bajet yang tinggi, susut nilai wang yang teruk, kos sara hidup yang tinggi serta pendapatan isi rumah yang semakin berkurangan.

"Ahmad secara berkesan mengakui BN gagal menguruskan ekonomi dengan baik," katanya.

Lim bagaimanapun mengkritik Ahmad kerana mendakwa jawatannya sebagai timbalan menteri, ahli Parlimen Pontian dan ketua penerangan Umno menunjukkan beliau melakukan tiga pekerjaan.

Katanya, ia mencerminkan keangkuhan Ahmad dan kurangnya beliau berhubung dan mengetahui penderitaan rakyat.

"Tidak seperti orang ramai, Ahmad dibayar dengan sangat lumayan, atau ada yang mengatakan terlebih dibayar, untuk tiga pekerjaan itu. Jika dibayar mana-mana satu daripada tiga pekerjaan itu pun sudah mencukupi baginya," kata Lim.

Beliau berkata, walaupun namanya disebut Ahmad berada dalam situasi yang sama dengan tiga jawatan sebagai ahli Parlimen Bagan, Ahli Dewan Undangan Negeri Air Puteh dan Setiausaha Agung DAP, beliau menganggap dirinya hanya mempunyai satu pekerjaan: berkhidmat untuk rakyat.

Ahad lepas, Ahmad berkata, bukan perkara luar biasa rakyat melakukan 2 pekerjaan pada satu masa dan kerajaan menggalakkannya sebagai cara menangani peningkatan kos sara hidup.

Keesokan harinya, selepas dikritik hebat berhubung kenyataannya itu, Ahmad mempertahankan dirinya dan mengatakan beliau sendiri melakukan 3 kerja dalam satu masa.

“Saya ada tiga kerja: Ahli Parlimen, timbalan menteri, ketua penerangan Umno. Ramai dah di Malaysia yang buat #2kerja. Berusaha gigih cari rezeki yang halal,” katanya melalui akaun Twitter pada Isnin.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .