Empat doktor didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan membuat perakuan palsu dalam borang permohonan lesen vokasional Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) L8, 3 tahun lalu.
Dr Ahmad Razi Othman, 58, Dr Phuah Chye Thuang, 62, Dr R. Pathmanathan, 55, dan Dr Fong Hon Pin@Poon Hon Pin, 68, didakwa melakukan kesalahan itu di premis berasingan pada 7 Mac 2013.
Tertuduh masing-masing didakwa membuat perakuan memeriksa seorang individu bagi memperbaharui lesen memandu Kelas D bagi memandu kenderaan perkhidmatan awam, sedangkan tiada pemeriksaan kesihatan dibuat.
Dr Razi didakwa membuat perakuan palsu dalam borang permohonan atas penama Zulkifli Che Yusof, 40, di Poliklinik Razi 27 di Taman Sri Damai, Tapah sementara Dr Phua didakwa melakukan perbuatan sama atas penama Mohd Firdaues Azizan, 33, di Klinik Phuah Jalan Takong Datoh, Gerik.
Dr Pathmanathan pula atas penama Mohd Saiful Baqhtiar Mohd Rohaizat, 37, di Kumpulan Poliklinik Manjung Sdn Bhd, Taman Samudera, Bandar Seri Manjung, manakala Dr Fong atas penama S. Suppiah Thevar, 36, di Klinik Simee, Kampung Simee, Ipoh.
Keempat-empat tertuduh mengaku tidak bertanggungjawab selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.
Indra membenarkan Dr Razi, Dr Pathmanathan dan Dr Fong masing-masing diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ipoh setiap bulan, manakala Dr Phuah diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Hakim menetapkan 5 Februari depan untuk sebutan semula kes.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kesemua tertuduh diwakili peguam masing-masing dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Wahida Jalaluddin.
sumber
No comments: