Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengakui harapan rakyat untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku dalam kes RM2.6 bilion dan SRC International Sdn Bhd yang sedang disiasat amat tinggi.
Dalam siri ke-2 wawancara khas bersama akhbar Sinar Harian, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed bagaimanapun berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan dengan lebih terperinci mengenai 2 kes itu kerana terikat dengan undang-undang.
“Saya mengulangi kenyataan dikeluarkan, iaitu kita mengesahkan sudah berjumpa dengan pihak berkaitan sepertimana kenyataan media sebelum ini.
"Dan kita akan menghabiskan siasatan dengan mengambil dan mendapatkan lagi saksi, serta bahan bukti diperlukan daripada pihak berkaitan.
“Lebih pada itu, tidak boleh diterangkan lagi kerana saya terikat dengan undang-undang yang ada," beliau dipetik berkata.
Abu Kassim turut menegaskan pihaknya tidak akan menghiraukan sebarang tohmahan dibuat mana-mana pihak dalam menjalankan siasatan.
“Kita satu agensi bebas yang menjalankan siasatan ke atas semua aduan rasuah yang kita terima.
"Tidak kira siapa ditohmah, yang penting sekiranya tohmahan itu mempunyai justifikasi, kita akan menjalankan siasatan tanpa mengira latar belakang, kedudukan, status mereka.
“Saya harap mesej tersebut sampai kepada masyarakat dan itu kita pegang sehingga ke hari ini,” beliau dipetik berkata.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada agensi seperti SPRM dapat mengubah persepsi masyarakat selepas pelbagai krisis berlaku yang menjejaskan siasatan.
Mengulas kejadian sekitar 5 bulan lalu apabila Timbalan Pendakwaraya SPRM Ahmad Shazalee Abdul Khairi ditahan polis kerana dikatakan terlibat dalam kes berkaitan Seksyen 124 Kanun Keseksaan, Abu Kassim berkata, ia dilihat seolah-olah bertujuan menjejaskan perjalanan siasatan.
“Seperti dinyatakan Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM Tunku Aziz Tunku Ibrahim semasa memberi maklum balas, apa juga hujahan, penjelasan kepada tindakan yang diambil ke atas pegawai SPRM, perkara yang nyata ialah terdapat satu persepsi.
"Sama ada benar atau tidak, itu perkara ke-2. Tetapi, persepsinya seolah-olah ada satu tindakan untuk menjejaskan perjalanan siasatan.
“Saya tidak mengiakan perkara tersebut tetapi ini yang dinyatakan Tunku Aziz," katanya.
Bagaimanapun katanya, pegawai SPRM mengembalikan perjalanan siasatan selepas itu dan sehingga ke hari ini, dengan kerjasama beberapa pihak dan saksi terlibat, pihaknya berjaya mendapatkan dokumen berkaitan.
Katanya, sama ada akan terdapat lagi saksi dipanggil atau tidak dalam kes itu, ia bergantung kepada analisa Jabatan Peguam Negara.
“Sama ada ia berpuas hati atau tidak dengan siasatan kita, daripada perbincangan dan pembentangan kita nanti, kita akan tengok langkah apa yang perlu kita buat seterusnya,” katanya.
Abu Kassim berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan pasukan siasatannya dalam mengendalikan siasatan kes RM2.6 bilion dan SRC International itu kerana ia tugas yang memerlukan satu tanggungjawab besar.
“Saya berpuas hati dengan cara kerja mereka, dedikasi dalam melengkapkan siasatan. Dan dalam keadaan sekarang, bukan senang, saksi hilang pergi ke luar negara dan sebagainya. Ini kerja yang memerlukan semangat juang tinggi,” katanya kepada Sinar Harian.
Walaupun SPRM bakal menghadapi potongan bajet yang besar sebanyak RM42 juta berbanding RM297 juta pada tahun ini, dari segi operasi, katanya pihaknya akan memastikan perjalanan operasinya tidak terjejas.
Manakala dari segi strategi dan hala tuju badan berkenaan pula, SPRM buat masa ini akan cuba mempercepatkan kes yang perlu disiapkan pada tahun ini tanpa mengabaikan kualiti dan merit ditetapkan.
sumber
No comments: