Seorang pemandu van sekolah dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dengan 2 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan merogol seorang pelajar lembam berusia 16 tahun.
Hakim Zulqarnain Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Ser Kim Joo, 51, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
"Kes ini melibatkan pemandu van yang menghantar dan mengambil pelajar dari rumah ke sekolah. Perkara ini menjadi perhatian dan menimbulkan kebimbangan dalam masyarakat. Namun, mahkamah turut mengambil kira tertuduh yang kelihatan uzur dan umur melebihi 50 tahun," kata hakim itu sebelum menjatuhkan hukuman.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan terhadap Ser dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh dia ditangkap pada 2 Disember 2014.
Ini bermakna tertuduh hanya menjalani hukuman penjara selama 12 tahun dan 2 sebatan.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan 8 saksi pendakwaan dan 2 saksi pembelaan.
Duda 4 anak itu mengaku tidak bersalah terhadap 2 pertuduhan merogol pelajar tingkatan 4 itu di sebuah flat di Wangsa Maju di Kuala Lumpur pukul pada 11 pagi 22 November dan 29 November 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Terdahulu, peguam Tan Choon Hong yang mewakili Ser, memohon supaya anak guamnya dihukum penjara minimum dan tidak dikenakan sebatan atas alasan tertuduh tidak melakukan keganasan yang meninggalkan kesan buruk terhadap mangsa, selain faktor usianya ketika kejadian.
Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi memohon hukuman berat sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat serta menasihatkan orang awam agar tidak mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak yang diamanahkan ibu bapa terutamanya kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan.
"Mangsa diamanahkan ibunya kepada tertuduh untuk dihantar ke pusat tuisyen. Namun, perbuatan licik tertuduh berjaya memperdaya mangsa yang masih muda dan lembam sehingga merogolnya sebanyak 2 kali di rumah tertuduh," kata Liyana Zawani.
sumber
No comments: