Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin mengharapkan kenyataan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang yakin dapat menemui kebenaran dalam siasatan RM2.6 bilion dan SRC International Sdn Bhd, adalah benar dan bukan semata-mata satu muslihat.
Menulis dalam blognya hari ini, bekas ketua pengarang New Straits Times Press (NSTP) itu melahirkan kebimbangannya terhadap kenyataan Tan Sri Abu Kassim Mohamed itu, menyatakan ia mungkin satu muslihat yang mempunyai agenda di sebaliknya.
"Mari kita berdoa supaya Abu Kassim bercakap perkara yang benar, kerana jauh di sudut hati saya, saya khuatir ia mungkin muslihat semata-mata.
"Saya bimbang penyataan kebebasannya (SPRM) itu mempunyai hasrat tersembunyi – untuk menguatkan kredibilitinya supaya sekiranya SPRM kelak mendapati tiada kes terhadap Datuk Seri Najib Razak, rakyat akan terpaksa mempercayainya," tulis beliau dalam blognya hari ini.
Semalam, akhbar Sinar Harian melaporkan Abu Kassim berkata, beliau sedar rakyat menaruh harapan tinggi untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dalam kedua-dua kes itu, dan berikrar akan terus menyiasat kes itu tanpa menghiraukan sebarang tohmahan dibuat mana-mana pihak terhadapnya.
Kadir dalam blognya turut mengimbas kembali perkenalannya dengan Abu Kassim yang bermula pada 2004 dan menaruh harapan kepada Abu Kassim yang diketahuinya sebagai seorang yang tegas menolak rasuah.
"Saya mengenali Abu Kassim secara peribadi pada 2004 apabila beliau memberi keterangan kepada Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia mengenai rasuah dalam pasukan polis.
"Ketika itu saya ahli suruhanjaya dan beliau ketua SPRM di Pulau Pinang. Suruhanjaya menumpukan kepadanya kerana reputasi sebagai seorang penyiasat rasuah yang tidak mudah disogok dan tegas.
"Saya harap, insya Allah, beliau masih Abu Kassim yang sama, sama ada ketika menyiasat rasuah melibatkan polis yang mengutip duit perlindungan daripada kumpulan gengster di Pulau Pinang atau kes berbilion ringgit perdana menteri dan dakwaan salah guna dana SRC International," katanya.
Tambahnya lagi Abu Kassim dan anak buahnya tidak boleh memungkiri janji dalam siasatan itu dengan menarik diri atau menjadi pengecut.
"Mereka sudah mengambil terlalu banyak risiko dan membuat begitu banyak janji kepada rakyat," kata Kadir.
"Biarpun terdapat cubaan berterusan mensabotaj siasatan dan menutup salah guna kuasa, kebenaran akan diketahui akhirnya.
"Tidak kira sama ada di mahkamah undang-undang atau mahkamah rakyat, kebenaran akan terbongkar juga," katanya.
sumber
No comments: