Banjir kilat melanda jalan utama pusat bandar raya Johor Baharu hari ini, menyebabkan berpuluh kenderaan terkandas.
Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata hujan lebat luar biasa bermula 12 tengah hari sehingga 1.30 tengah hari menyebabkan air naik sehingga 1.5 meter dan sekurangnya 20 kereta dipercayai terperangkap dalam kejadian itu.
"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Antara jalan yang dinaiki air ialah Jalan Wong Ah Fook yang menjadi tumpuan orang ramai dan terletaknya Johor Baharu City Square dan Komtar JBCC.
"Beberapa jalan berdekatan menghala ke kompleks tersebut turut dinaiki air," katanya.
Sulaiman berkata ekoran kejadian itu, para pengguna jalan raya dinasihati menggunakan laluan alternatif dan anggota trafik turut mengawal aliran lalu lintas di kawasan berkenaan.
Laluan selorong Jalan Wong Ah Fook dibuka semula kepada lalu lintas pada 2.15 petang selepas banjir beransur surut.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Johor yang dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.40 tengah hari.
Menurut jurucakap itu, anggota JPAM kemudian bergerak ke 10 lokasi di sekitar bandar raya bagi melakukan pemantauan termasuk Jalan Kolam Ayer, Jalan Wong Ah Fook dan beberapa jalan sekitar.
"Anggota JPAM Johor turut membantu seorang wanita berumur lingkungan 20-an keluar dari keretanya selepas panik terperangkap dalam banjir di Jalan Wong Ah Fook," katanya.
Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Johor Baharu Pegawai Bomba Kanan II Khairul Azhar Aziz pula berkata pihaknya turut membantu mengeluarkan 3 mangsa yang terperangkap dalam kereta di Jalan Wong Ah Fook.
Katanya, anggota bomba turut meninjau beberapa tempat letak kereta bawah tanah antaranya di Komtar JBCC, Public Bank dan Merlin Tower bagi memastikan tiada mangsa terperangkap.
Sementara itu, seramai 144 penduduk di Jalan Lautan Samudera, Puncak Alam dekat Shah Alam dipindahkan berikutan kediaman mereka dinaiki air setinggi satu meter akibat hujan lebat malam tadi.
Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata setakat 8 pagi ini, semua mangsa yang dipindahkan itu terdiri daripada 30 keluarga dan ditempatkan di Surau At Taufiqiah Puncak Alam.
"Selain bomba, agensi lain yang turut terlibat dalam operasi pemindahan itu ialah polis, Rela dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM)," katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam.
Sementara itu, penduduk di kawasan perumahan Puncak Alam mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk pada pagi ini berikutan laluan keluar dari kawasan perumahan tersebut hampir terputus akibat banjir.
Seorang jururawat yang menetap di Fasa 2 Puncak Alam dan bekerja di Hospital Sungai Buloh, Lily Faridah Kamarulzaman, 24, ketika dihubungi Bernama berkata beliau lewat sejam ke tempat kerja pada pagi tadi.
"Saya tidak jangka laluan keluar dari Puncak Alam masih tidak dapat dilalui pada pagi ini kerana menyangka jalan raya yang ditenggelami air pada malam tadi sudah surut.
"Akibat kesesakan yang teruk, saya terpaksa berpatah balik dan menghala ke arah Felda Bukit Cerakah seterusnya susur keluar ke arah Kampung Budiman untuk ke tempat kerja," katanya.
Beliau turut berkata hanya kenderaan pacuan 4 roda atau lori sahaja yang boleh melalui jalan raya yang masih ditenggelami air tersebut.
Seorang penjawat awam yang bekerja di Putrajaya, Latifah Ismail, 49, yang juga menetap di Fasa 2 Puncak Alam, berharap pihak terbabit segera menyelesaikan masalah banjir teruk kali kedua yang berlaku di Puncak Alam.
"Ini adalah kali ke-2 Puncak Alam ditenggelami air yang teruk akibat sistem perparitan yang tidak sempurna dan saya berharap pihak berkuasa segera menyelesaikan masalah ini.
"Tadi saya terpaksa keluar rumah untuk ke tempat kerja seawal jam 6 pagi bagi mengelakkan kelewatan," katanya.
sumber
No comments: