Aktivis sosial mengenal pasti rasuah sebagai isu mustahak di Malaysia yang memberi kesan kepada institusi awam dan hak asasi manusia sepanjang pertemuan bersama Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama selama sejam hari ini.
Pengarah Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel membangkitkan tuduhan rasuah membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kesannya terhadap institusi awam yang terlibat dalam siasatan membabitkan syarikat sarat hutang itu.
Obama memahami dan memberi tumpuan khusus mengenai agenda anti rasuah adalah sangat penting baginya, kata Cynthia.
"Dalam maklum balas, beliau menerangkan mengenai nilai TPP di mana ia membantu meningkatkan ke satu tahap tinggi, sebagai contoh dalam terma tender terbuka dan perolehan," katanya, merujuk kepada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang bakal ditandatangani.
"Beliau juga mengulas mengenai ruang demokratik dan halangan ke atas media daripada melaporkan isu 1MDB," tambahnya.
Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, beliau memberitahu Obama sejak pertemuan terakhir mereka pada April tahun lepas, rekod hak asasi manusia di Malaysia semakin merosot.
Aktivis-aktivis lain membangkitkan bagaimana cara siasatan ke atas 1MDB dihalang, kata Ambiga yang juga presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam).
"Kesimpulannya, kami membuat rumusan rasuah adalah isu paling bermasalah dan tanpa ragu menggugat hak asasi manusia," kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Menurut Ambiga, Obama juga membuat kenyataan secara terbuka menghargai kerja yang dijalankan aktivis di Malaysia dan cabaran yang dihadapi mereka.
Selain itu, Ambiga juga ada membangkitkan mengenai pemenjaraan bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dinafikan rawatan khusus dalam penjara terhadap kecederaan dialaminya.
"Saya juga membangkitkan mengenai laporan Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari PBB yang menggesa pembebasan Anwar," katanya.
Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah memberitahu Obama, gerakan demokratik di Malaysia terjejas teruk akibat dasar-dasar Datuk Seri Najib Razak.
Beliau turut memaklumkan Obama walaupun Najib menunjukkan imej sederhana di luar negara, dasar-dasar beliau di tanah air adalah "pelampau ekstremis".
"Saya memberitahu beliau dasar-dasar Najib sedang menekan pergerakan masyarakat awam, di mana beliau menggunakan semua jenis undang-undang terhadap kami dan pembangkang.
"Dasarnya kelihatan menyokong kumpulan seperti Perkasa dan baju merah.
"Ini amat membimbangkan dan menjejaskan pergerakan demokrasi di Malaysia," kata Maria semasa taklimat bersama Obama.
Wakil Justice for Sisters Nisha Ayub pula berkata, Obama melahirkan kebimbangan terhadap masyarakat transgender di Malaysia.
Beliau menghargai pemimpin dunia tersebut yang melahirkan rasa bertanggungjawab terhadap hak asasi manusia dan kerja aktivis-aktivis di Malaysia.
"Saya yakin sesuatu akan berhasil daripada pertemuan ini," katanya.
No comments: