Bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd hari ini menafikan dakwaan pernah menyalahgunakan pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).
Dalam kenyataan pertamanya kepada media, firma milik Kementerian Kewangan itu menolak dakwaan yang mengakibatkan kesan kewangan dan reputasi negatif kepada perniagaannya dalam percubaan untuk menjejaskan kerajaan secara politik.
"Kami menyeru kepada pihak yang terlibat dalam usaha untuk menggulingkan kerajaan supaya berhenti melibatkan SRC dalam kempen politik mereka dan mengelakkan daripada membuat tuduhan palsu dan tidak berasas terhadap kami," kata SRC.
Kenyataan itu adalah sebagai respons kepada laporan portal berita Malaysiakini dan laman pendedah maklumat Sarawak Report yang menerbitkan satu kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan gambar rajah dana didakwa disalurkan ke dalam akaun beliau – dengan mendakwa pinjaman RM4 bilion diperoleh SRC International daripada KWAP disalahgunakan.
SRC berkata ia menjalankan siasatan dalaman dan percaya dakwaan itu adalah berdasarkan kepada dokumen palsu, dan satu percubaan yang sengaja bagi mengelirukan orang ramai.
Syarikat tersebut berkata wang RM4 bilion daripada dana pencen kerajaan itu disumbangkan kepada kunci kira-kiranya mengikut amalan perakaunan dan tadbir urus yang standard, dan menegaskan tidak ada sebarang penyalahgunaan "seperti didakwa mereka yang mempunyai niat jahat".
"Demi kepentingan pendedahan sepenuhnya, kami meminta jasa baik Jabatan Peguam Negara untuk menjalankan siasatan penuh terhadap dakwaan ini dan kertas pertuduhan yang dikatakan diterbitkan oleh Sarawak Report dan rajah aliran dana yang diterbitkan Malaysiakini.
"Kami meminta pihak yang bertanggungjawab dalam pemalsuan ini dikenal pasti, memandangkan kesahihannya dinafikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 3 Ogos lalu," kata SRC.
Ia juga menjelaskan aktiviti tanggungjawab sosial korporatnya (CSR), mengatakan apa-apa perbelanjaan syarikat pada program sosial diperoleh daripada pendapatan tunai yang dijana daripada pelaburannya.
"Sejak beberapa tahun, sejumlah kira-kira RM500 juta tidak termasuk perkara bukan tunai lain, memberi kami pendapatan yang besar untuk digunakan bagi tujuan itu," katanya.
Ini bukan kali pertama persoalan ini dibangkitkan mengenai pinjaman RM4 bilion itu.
Pada 16 Oktober tahun lalu, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua juga mempersoalkan apa yang berlaku kepada wang RM4 bilion yang diperoleh menerusi pinjam berasaskan Islam daripada KWAP, dan dijamin Putrajaya.
Pinjaman itu sudah diserahkan kepada SRC dalam dua fasa pada Ogos 2011 dan Mac 2012.
sumber
No comments: