» » Speaker Dewan Rakyat dilihat salahgunakan kuasa untuk lindungi Najib Razak


Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini menyelar Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang dilihat menyalahgunakan kuasa pada persidangan Parlimen kali ini hingga menampakkan seolah-olah beliau terlalu menjaga kepentingan Putrajaya.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub yang juga bekas ahli Parlimen Kubang Kerian berkata Parlimen Malaysia seharusnya melakukan pembaharuan dengan mencontohi Parlimen di negara maju dan bukan membandingkannya dengan Parlimen di negara seperti Bangladesh dan Sri Lanka.

"Sebagai bekas ahli Parlimen, saya ingin lihat ada pembaharuan dalam Parlimen. Pembaharuan bermula dengan jawatankuasa bagi melihat satu 'standing order' kerana ia penting untuk dikaji semula sebab negara merdeka lebih 50 tahun.

"House of Commons (Dewan Rakyat di United Kingdom) melalui proses itu ratusan tahun. Mereka dari masa ke masa membuat pembaharuan kepada 'standing order.'

"Speaker pun tidak boleh terus dilihat sebagai terlalu menjaga kepentingan kerajaan jika kita ingin lihat Parlimen yang berkelas dunia," katanya pada sidang media pengumuman kemasukan tokoh anak muda ke dalam parti Amanah di Wisma Amanah, Kuala Lumpur, hari ini.

Salahuddin berkata, Pandikar sewajarnya melakukan reformasi dengan menyumbangkan idea dalam memimpin Parlimen seperti di Eropah, United Kingdom dan Amerika Syarikat yang memperjuangkan hak rakyat.

"Kalau terus menerus dengan berita buang orang di bawah 'standing order', halau orang keluar, ini tidak membawa aspirasi kepada anak muda. Mereka tidak mahu lagi Parlimen seperti itu.

"Kita harus melihat jauh ke depan seperti Parlimen di Eropah, Parlimen, House of Commons atau Dewan Senat di Amerika Syarikat.

"Jangan buat perbandingan Dewan kita dengan Bangladesh dan Sri Lanka," katanya.

Dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang digantung 6 bulan selepas usul yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said diluluskan majoriti ahli Parlimen.

Ketua Parlimen DAP itu masih enggan meminta maaf atas kenyataannya mengatakan speaker bersikap seperti diktator apabila mengarahkan mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ditangguhkan susulan ketiadaan pengerusi, selepas Datuk Nur Jazlan Mohamed dilantik sebagai timbalan menteri dalam negeri.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .