Prihatin dengan nasib pelajar Malaysia yang berada di luar negara, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Idris menawarkan bantuan kewangan secara "one-off" kepada mereka bagi membantu meringankan bebanan kos sara hidup, lebih-lebih lagi selepas kejatuhan nilai ringgit.
Idea itu dilontarkan baginda secara spontan selepas bercuti di United Kingdom (UK) bulan lalu dan melihat harga barangan serta bebanan yang ditanggung pelajar Malaysia di sana.
Sebulan selepas membuat tawaran itu melalui laman Facebook baginda, program Inisiatif Bantuan Kewangan Pendidikan Zarith Sofiah (ZSIEFA) menghulurkan bantuan kepada 100 penuntut Malaysia di Amerika Syarikat (AS) dan UK, masing-masing sebanyak AS$500 (RM2,225) dan 500 pound sterling (RM3,350).
Ia disalurkan di bawah Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) yang ditubuhkan pada 2012.
Salah seorang penerimanya ialah Razlan Rashid, pelajar PhD tahun tiga dari University of Sussex's School of Media, Film and Music, yang memuji inisiatif itu sebagai satu usaha yang bagus membantu pelajar Malaysia di luar negara yang merasai kesusahan akibat kejatuhan nilai ringgit dan kenaikan kos.
Melalui satu posting Facebook pada 21 September, Razlan menulis selepas mendengar berita gembira itu: "Rasa diberkati. Pagi yang penuh emosi bagi saya hari ini apabila dipilih sebagai antara yang menerima Inisiatif Bantuan Kewangan Pendidikan Zarith Sofiah. Moga yayasan ini dirahmati Allah. Sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kesenangan. Memang benar."
Razlan, dari Selangor, memberitahu The Malaysian Insider, beliau terpaksa bekerja sebagai penghantar barang bagi menghadapi kenaikan kos pendidikan dan sara hidup.
Katanya, beliau rasa terharu apabila seorang kerabat diraja sanggup mengambil inisiatif sedemikian untuk "orang biasa" seperti dirinya.
Razlan juga mengemukakan video dua minit mengenai dirinya dalam permohonannya untuk memperoleh bantuan itu.
Sementara itu, Pengerusi YRZSNJ Datuk Dr Muhammad Ridzuan Salleh berkata kepada The Malaysian Insider, setiap pemohon dikehendaki mengemukakan permohonan mereka dengan memuat naik video kreatif di laman Facebook yayasan berkenaan.
Ia menerima sambutan daripada seramai 400 pelajar Malaysia yang mengemukakan permohonan.
"Dana itu disumbangkan orang persendirian dan institusi korporat yang membolehkan kita menggunakannya untuk membantu pelajar Malaysia di luar negara," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ridzuan, 72, yang juga merupakan Pro Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, sebaik saja yayasan itu menerima permohonan pelajar terbabit, Raja Zarith Sofiah (gambar) secara peribadi menulis surat kepada syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mendapatkan dana bagi membantu pelajar tersebut.
"Dalam masa dua minggu kami berjaya mengumpulkan dana untuk membantu mereka," katanya.
Melalui laman Facebook tersebut, turut dimaklumkan dana berkenaan akan diagihkan secara berperingkat bermula 23 September hingga 31 Disember ini.
Ia melibatkan 4 fasa, dengan pertama melibatkan 10 penerima, diikuti fasa kedua pada 31 Oktober seramai 20 penerima, fasa ketiga pada 31 November melibatkan 30 penerima dan fasa terakhir pada 31 Disember melibatkan 40 penerima.
Yayasan itu katanya turut ingin mengetengahkan prinsip wakaf untuk bidang ilmu, dan beranggapan setiap individu berhak mendapatkan pelajaran tinggi tanpa perlu memikirkan soal bebanan kewangan yang perlu ditanggung mereka.
"Sesiapa juga mahu belajar dia tidak patut katakan saya tidak ada duit," katanya.
"Kita kena kerahkan orang Malaysia berfikir tentang wakaf pelajaran, sekarang rakyat Malaysia berfikir semuanya mesti dengan biasiswa kerajaan.
"Kita kena pecahkan ini, tidak boleh, pelajaran sangat berharga... kita baru mula, 100 pelajar inilah permulaannya," katanya.
Ridzuan berkata, YRZSNJ juga merancang untuk bekerjasama dengan restoran di UK dan AS dalam mengeluarkan kupon makanan untuk pelajar Malaysia di sana.
Antara rancangan jangka panjang yayasan tersebut adalah menganjurkan persidangan di AS berkenaan "adab" Islam Asia Tenggara pada April 2016.
Yayasan itu juga katanya akan mewujudkan alumni bagi penerima bantuan tersebut dan akan bersama-sama turut sama membantu pelajar lain di luar negara.
sumber
No comments: