Selepas membuat kenyataan akan membincangkan nasib ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Tony Pua, pengerusi baharu Datuk Hasan Arifin hari ini berkata beliau tidak ada kuasa untuk membuang ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.
Hasan berkata pihak yang mempunyai kuasa membuang ahli daripada PAC ialah Jawatankuasa Pemilih Parlimen.
"Saya tidak punyai kuasa untuk berbuat demikian, bukan saya.
"Yang boleh lakukan ialah Jawatankuasa Pemilih," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata kenyataannya sebelum ini bermaksud untuk memanggil Pua dan membincangkan tentang etika sebagai ahli PAC.
"Kita hanya mahu adakan perbincangan dengan Pua.
"Seperti prinsip dan etika sebagai ahli PAC, kita boleh memberi komen atau tidak," katanya.
Hasan yang juga ahli Parlimen Rompin menafikan PAC sememangnya mempunyai agenda untuk menyingkirkan Pua.
Pada masa sama beliau juga turut memberi reaksi berhubung kenyataan yang dikeluarkan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang awal pagi tadi.
Beliau berkata, kenyataan Lim itu dilihat cenderung kepada unsur politik apabila mendakwa beliau tunduk kepada desakan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang mahu mengeluarkan Pua daripada PAC.
Dengan nada menyindir, beliau sempat mengucapkan terima kasih kepada Lim kerana dikatakan cuba mengajarnya untuk menjadi pengerusi PAC.
"Saya lihat kenyataan Lim ia lebih bermotif politik selain cuba mengajar saya, memberi tips bagaimana mahu menjadi pengerusi PAC," katanya sambil tersenyum.
sumber
No comments: