Mohamed Azmin Ali membidas kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa dalam ucapan bajet beliau hari ini, pakatan pembangkang kini mula menerima pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Timbalan presiden PKR itu berkata, kenyataan perdana menteri itu seolah-olah ingin mengelirukan Dewan Rakyat dengan mengalihkan perhatian kepada Pakatan Harapan.
Padahal, kata menteri besar Selangor itu, terdapat isu yang lebih penting seperti usaha menangani rasuah yang tidak digariskan dalam Bajet 2016 itu.
"Saya rasa beliau cuba kelirukan Dewan, kata kita sokong GST. Pakatan dan semua parti pembangkang lain menyatakan kita mahu kerajaan menumpukan kepada unsur asas dahulu, seperti rasuah, salah guna kuasa, yang diamalkan dalam pentadbiran negara secara berluasa.
"Dan ini yang tidak ditekankan dalam belanjawan kali ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas pembentangan Bajet di Dewan Rakyat.
Najib semasa membentangkan Bajet 2016 mempertahankan keputusan Putrajaya melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) semasa pembentangan, mengatakan pihak pembangkang juga menyokongnya.
Najib berkata, meskipun GST bukanlah keputusan popular, ia tindakan betul demi ekonomi Malaysia.
"Malah pihak sebelah sana yang menentang keras kini terima GST, terima kasih kepada pembangkang kerana anda faham," kata beliau sambil memegang buku Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan.
Mengulas mengenai Bajet 2016 itu, Azmin yang juga menteri besar Selangor menyifatkan ia langsung tidak menyelesaikan masalah ekonomi negara terutama ketika berdepan krisis kejatuhan ringgit.
"Bajet ini masih tidak lagi mencorakkan satu penyelesaian kerana kita lihat belanja pembangunan kecil daripada jumlah mengurus.
"Jadi persoalan bagaimana kerajaan persekutuan dapat memulihkan ekonomi negara sekiranya belanja mengurus begitu besar dan kedua tidak ada langkah yang dinyatakan dalam belanjawan tangani ketirisan, salah guna kuasa dalam negara.
"Saya tidak percaya belanjawan tidak boleh pulihkan ekonomi negara," katanya.
sumber
No comments: