Polis hanya akan menggunakan Akta Kesalahan Khas (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) terhadap mereka yang melakukan kesalahan dan bukan terhadap pengkritik kerajaan, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, mengulas bantahan beberapa pihak yang mendakwa undang-undang keselamatan itu disalah guna untuk menyekat pandangan politik.
Ketua polis negara itu berkata, beliau tidak nampak bagaimana Sosma dikatakan digunakan terhadap pengkritik kerajaan.
"Kami menggunakan Sosma terhadap mereka yang melakukan kesalahan, bukan pengkritik kerajaan," katanya kepada media pada satu majlis di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuala Lumpur hari ini.
"Berhubung kes baru-baru ini, saya tidak mahu mengulas lanjut kerana mereka sudah didakwa di mahkamah dan hanya menunggu perbicaraan," katanya merujuk kepada bekas ahli Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang, yang sedang ditahan di bawah peruntukan Sosma dan menghadapi tuduhan cubaan mensabotaj ekonomi.
edua-duanya sebelum ini mengkritik kerajaan dan firma pelaburan milik negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB), manakala Khairuddin turut membuat laporan terhadap firma itu dengan beberapa pihak berkuasa luar negara.
"Saya sudah jelaskan perkara ini sebelum ini. Saya rasa tidak ada penjelasan lanjut diperlukan mengenai mengapa kita menahan mereka ," kata Khalid.
Beliau sebelum ini mempertahankan penggunaan Sosma terhadap 2 individu itu, mengatakan tiada apa yang salah dalam menggunakan akta tersebut.
"Mereka ditahan di bawah Sosma. Ia satu prosedur untuk menahan dan menyiasat pesalah. Tetapi, mereka didakwa di bawah Kanun Keseksaan," Khalid berkata sebelum ini.
Pada Isnin, Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) mengecam Putrajaya kerana dikatakan menggunakan undang-undang keselamatan itu terhadap pengkritik kerajaan.
Dr Mahathir turut disertai veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Sanusi Junid, Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal dan bekas presiden MCA Tan Sri Ong Tee Keat.
Bekas perdana menteri itu berkata, tuduhan terhadap Khairuddin dan Chang di bawah Sosma adalah langkah terdesak kerajaan dan bertentangan dengan konsensus sebelum ini semasa menggubal akta itu.
sumber
No comments: