Kementerian Pendidikan menyarankan semua sekolah menggunakan modul "The World's Largest Lesson" (WLL) yang merupakan satu daripada inisiatif untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) digariskan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Dasar dan Pembangunan) Datuk Seri Khairil Awang berkata melalui WLL, pelajar didedahkan kepada 3 sasaran utama SDG iaitu menghapuskan kemiskinan tegar, mewujudkan kesaksamaan dan keadilan serta memperbaiki perubahan iklim.
"Ini ada kaitan dengan pendidikan berkualiti di mana pelajar perlu menyedari aspek yang ditekankan dalam kehidupan abad ke-21 dengan harapan ia akan dikongsi dengan masyarakat di sekeliling mereka.
"Ia menekankan pemikiran yang lebih global dan keupayaan pelajar untuk berinteraksi dengan pelajar dari sekolah lain di Malaysia dan dari luar negara," katanya kepada pemberita selepas sesi WLL di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Warisan, di Sepang hari ini.
Beliau berkata dalam sesi itu pelajar didedahkan kepada modul WLL serta berkomunikasi dengan pelajar dari India, Taiwan dan 8 sekolah lain di seluruh negara menggunakan kaedah telepersidangan.
Bagi memudahkan pihak sekolah dan guru, sebanyak 4 modul WLL boleh dimuat turun di laman Frog Store yang bertemakan transformasi pendidikan, pembasmian kemiskinan, penjimatan tenaga dan penjagaan alam sekitar.
sumber
No comments: