Jerebu semakin buruk pagi ini dengan menyaksikan ibu negeri Selangor, Shah Alam mencecah tahap berbahaya bagi Indeks Pencemaran Udara (IPU).
Pada 9 pagi hari ini, Jabatan Alam Sekitar berkata IPU di Shah Alam mencatatkan 308, melebihan 301 IPU berbahaya.
Lima kawasan lain di Selangor dan Kuala Lumpur berterusan dengan keadaan udara pada tahap "sangat tidak sihat" dengan Batu Muda di Kuala Lumpur pada 271, Petaling Jaya (256), Banting (249), Pelabuhan Klang (243) dan Putrajaya (235).
Bacaan IPU antara 0 dan 50 menunjukkan kualiti udara yang baik; 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan lebih 301 berbahaya.
Sementara itu, Malaysia Airports Berhad (MAB) berkata operasi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dibuka semula pada 9.15 pagi ini, selepas diisytiharkan ditutup sebelumnya apabila jarak penglihatan berkurangan kepada 350 meter pada 6.35 pagi.
Bagaimanapun, 2 lapangan terbang lain, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar dan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh, ditutup sehingga diberitahu kelak, kata MAB dalam beberapa tweet.
Jarak penglihatan bagi kedua-dua lapangan terbang adalah 500 meter pada 7.20 pagi dan 7.30 pagi.
Operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang klia2 di Sepang berjalan seperti biasa.
Keadaan semakin buruk juga memaksa program Larian Maraton anjuran Standard Chartered Kuala Lumpur dibatalkan hari ini.
Ini merupakan kali kedua acara larian itu terjejas akibat pencemaran udara. Pada 2013, acara tersebut ditangguhkan dari Jun ke Oktober.
sumber
No comments: