» » » Amanah yang diberi oleh rakyat Malaysia akan lindungi kebebasan SPRM dalam siasatan apa-apa skandal pun


Masa berlalu cepat sejak saya memulakan kerjaya pada 2 Ogos 1982 sebagai pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Apabila merenung kembali perjalanan 3 dekad lalu, saya boleh mengatakan ada banyak perbezaan dan perubahan yang kita saksikan, melibatkan sistem, cara kerja, struktur organisasi dan undang-undang, khususnya sejak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diwujudkan pada 1 Januari 2009.

Begitu juga cabaran dalam usaha menangani isu jenayah rasuah.

Suasana dulu dan sekarang banyak berbeza.

Kehendak rakyat juga semakin meningkat. 

Harapan mereka ke atas SPRM terus meningkat. 

Kerja sebagai pegawai SPRM, kita sendiri yang pilih. 

Bukan kerana orang lain. 

Sebenarnya tugas sebagai pegawai SPRM ini amat berat, teramat berat.

Ini kerana kita diamanahkan untuk mencegah orang lain daripada melakukan rasuah, mencegah orang daripada memasuki neraka.
Dalam Islam, neraka bermaksud hukuman paling berat ke atas mereka yang melakukan dosa di bumi. 

Kepercayaan penganut-penganut agama lain pun begitu.

Bermakna tugas kita ini sebagai pegawai pencegahan rasuah memang berat. 

Tetapi kita memilih untuk berkhidmat sebagai pegawai SPRM dengan satu amanah yang cukup tinggi.

 Justeru, saya percaya pegawai-pegawai SPRM akan menyempurnakan amanah yang sangat mulia ini dengan sebaik mungkin tanpa takut dan tekanan.

Apabila bercakap mengenai jenayah rasuah ini, khususnya dari konteks Malaysia, ia melibatkan orang perseorangan. 

Yang melakukan rasuah adalah individu. 

Rasuah tidak melibatkan organisasi, syarikat atau pertubuhan. 

Sebaliknya yang melakukan rasuah adalah individu, selagi mereka ada kuasa dan wang serta kedudukan.

Pengalaman saya selama 33 tahun termasuk 24 tahun dalam bidang siasatan, kita menyiasat semua orang melibatkan segenap lapisan masyarakat. 

SPRM pernah siasat ahli politik, menteri, tokoh korporat, menteri besar, ketua menteri, timbalan perdana menteri dan malah perdana menteri.

Jadi, pesanan saya – jangan takut dan gementar untuk menjalankan amanah ini. 

Tidak kira siapa yang SPRM siasat.

Secara kebetulan, ketika saya bersara, SPRM sedang menyiasat seorang individu berprofil tinggi. 

Siasatan ini menguji sejauh mana bebas, telus dan profesionalnya SPRM dari kaca mata rakyat. 

Kita berhadapan antara persepsi dan realiti.
Kita menggerakkan dasar “Merakyatkan SPRM”. 

Saya dapat melihat keyakinan rakyat ke atas meningkat kebelakangan ini. 

Mereka sudah mula memahami ciri sebenar fungsi dan tugas SPRM sebagai agensi pencegahan rasuah.

Maka, saya yakin pegawai-pegawai SPRM akan terus memperlihatkan ketegasan dan tahap profesionalisme cukup tinggi dalam menyelesaikan kes berprofil tinggi ini dengan sebaik mungkin.

Ini penting untuk rakyat terus menyokong institusi pencegahan rasuah bernama SPRM.

Kita semua tahu SPRM sedang berhadapan dugaan dan ujian yang paling getir. 

Saya pun tanya pada diri saya mengapa perkara ini menimpa SPRM. 

Sebagai seorang Islam, saya melihat ini sebagai ujian Allah ke atas kita. 

Allah menguji kita yang diamanahkan dengan tugas mencegah kemungkaran.

Kita perlu fikir bersama bagi memastikan kesinambungan sebuah organisasi pencegahan rasuah bernama SPRM, yang diwujudkan di bawah Akta SPRM 2009. 

Jangan biarkan kedudukan SPRM sebagai suruhanjaya yang bebas, telus dan profesional, diusik dan diganggu-gugat oleh mana-mana pihak berkepentingan.

Beberapa bulan lalu, “ribut” melanda SPRM. 

Kita perlu meneruskan tanggungjawab dengan bebas, telus dan profesional demi negara dan rakyat. 

Saya berharap setiap pegawai SPRM akan terus memberi sokongan padu kepada ketua pesuruhjaya dan pengurusan tertinggi.

Sepanjang saya berkhidmat di BPR dan SPRM, saya tidak pernah terfikir dan terlintas yang SPRM akan menghadapi cabaran terbesar dan paling hebat seperti dilalui sekarang. 

Semua sedia maklum SPRM sedang menjalankan satu siasatan paling besar sejak penubuhan pada 1967.

Oleh itu, pegawai-pegawai yang terlibat dalam siasatan kes ini harus diberi sokongan dan suntikan semangat kepahlawanan untuk berjuang di medan yang paling sukar ini.

Kita berhadapan dengan satu siasatan yang melibatkan orang paling berkuasa dalam negara.

Saya yakin SPRM akan menjalankan siasatan dan memastikan kes yang disiasat adalah selengkap-lengkapnya. 

Ini kerana kita tidak mahu pihak yang membuat keputusan ke atas laporan kertas siasatan ini mempunyai sebab untuk tidak bersetuju dengan cadangan dan syor yang dibuat SPRM.

Dalam pengalaman lebih 30 tahun, proses pembuktian kes-kes rasuah bukan mudah. 

SPRM perlu memastikan kes yang disiasat adalah kukuh untuk dibawa ke mahkamah. 

Amalkan prinsip “no-stone unturn”. 

Jangan beri ruang dan peluang untuk sesiapa “reject the case”.

Berdasarkan kepada amalan biasa, yang akan menentukan sama ada merit untuk dibawa ke mahkamah atau sebaliknya, adalah peguam negara.

Tanggungjawab SPRM hanya menjalankan siastaan. 

Pesanan saya, jika ada kes nyatakan ada kes dengan jelas dan kukuh. 

Jika tidak ada kes, nyatakan tidak ada kes dalam laporan kertas siasatan.

Ini cukup penting sebab dokumen ini boleh disemak oleh anak cucu kita atau anak cucu mereka yang disiasat satu hari kelak.

Mereka akan tahu sama ada kita melakukan perkara yang betul atau tidak sebagaimana diamanahkan. 

Bukan senang untuk mendapatkan keputusan pendakwaan. 

Tetapi sejarah akan menunjukkan SPRM tidak pernah putus asa, seperti dalam kes Perwaja, yang saya sendiri terlibat dalam siasatan selama 8 tahun.

SPRM meneruskan siasatan sehingga ke akhir, sampai ke luar negara, dan berjaya membawa kes ke mahkamah.

Jika dahulu boleh, saya pasti SPRM akan meneruskan amanah ini. 

Saya yakin SPRM boleh.

Saya tahu dan faham sepenuhnya kerja seorang pegawai siasatan. 

Begitu juga tugas SPRM. 

Bukan satu tugas mudah.

Oleh itu, saya yakin pegawai-pegawai yang terlibat dalam kes semasa, yang melibatkan personaliti yang tinggi kedudukan berbanding kes Perwaja, dan mendapat perhatian antarabangsa, akan menjalankan tugas tanpa getar dan gementar. 

Berdasarkan kepada tradisi, siasatan tetap perlu dijalankan meskipun kita difahamkan ada saksi yang hilang, lari atau dilarikan.

Baru-baru ini kita semua mengikuti pendirian yang dibuat oleh Majlis Raja-raja Melayu berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Walaupun SPRM tidak siasat kes 1MDB, tetapi mesej yang disampaikan oleh Majlis Raja-raja Melayu juga merujuk kepada kes SRC International dan dana RM2.6 bilion, yang sedang disiasat oleh SPRM.

Raja-raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1MDB dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat. 

Selain itu, Raja-raja Melayu juga mahu badan-badan penguatkuasaan serta institusi-institusi kawal selia seperti SPRM menyempurnakan amanah Ilahi dan kepercayaan rakyat secara telus, berkredibiliti dan berintegriti.

Bagi saya kenyataan Majlis Raja-raja Melayu ini juga satu detik bersejarah. 

Kita ada sokongan rakyat. 

Kita ada sokongan Majlis Raja-raja Melayu. 

Kita tidak boleh membenarkan mana-mana pihak mengganggu siasatan SPRM.

Saya menghargai ketegasan yang dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed pada 1 Oktober lalu. 

Saya yakin beliau akan terus menguatkan semangat untuk memastikan siasatan dijalankan dengan baik yang mungkin sebagaimana diharapkan oleh Raja-raja Melayu dan rakyat.

Pengharapan rakyat adalah di bahu kita dan titah Raja-raja Melayu adalah amanah yang teramat penting mesti ditunaikan sepenuhnya. 

Saya penuh yakin SPRM tidak ada mengabaikan pengharapan dan amanah ini.

Rasuah perlu diperangi oleh setiap daripada kita demi melahirkan persekitaran bebas rasuah. 

Malaysia ibarat sebuah kapal yang besar di lautan. 

Ada seorang manusia yang dahagakan air, sedang menebuk kapal, kononnya hendak minum air.

Apa akan terjadi kepada kita jika kita tidak halang orang yang menebuk kapal ini. 

Tidak kira apa kedudukan dia. 

Menebuk kapal untuk kepentingan diri, dia akan menjahanamkan seluruh kapal, tenggelamlah kita, tenggelamkan negara.

Oleh itu, apa tanggungjawab kita sebagai rakyat? 

Setiap rakyat ada peranan. 

Kita perlu ambil tanggungjawab bagi menghalang orang daripada menebuk kapal. 

Halang orang daripada menebuk.

Bagi mengelak kapal bernama Malaysia tenggelam, kita perlu melindungi kebebasan institusi bernama SPRM. 

Ini amanah kita.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .