Kelewatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dalam menyerahkan kenyataan kewangannya kepada penyelia tidak boleh diterima, kata DAP hari ini, serta menuduh syarikat sarat hutang itu ingin "mengelak kebenaran terbongkar kepada rakyat".
Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua juga mempersoalkan sekiranya kelewatan firma tersebut menyerahkan kenyataan Mac 2015 dilakukan secara sengaja sehingga pelaburan milik Kementerian Kewangan itu dapat menjual semua asetnya untuk menampung berbilion ringgit yang dikatakan "hilang".
1MDB dikatakan memfailkan kenyataan kewangannya dengan Companies Commission sejak 30 September tetapi menerima lanjutan 6 bulan. Syarikat tersebut mengatakan tidak dapat akses kepada dokumen penting kerana sedang disiasat pihak berkuasa.
"Alasan ini teruk kerana seperti yang didapati Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) semasa pertemuan dengan juruaudit 1MDB, Deloitte Malaysia, mereka tidak dipanggil atau dibenarkan memulakan audit dari Jun 2015.
"Pengerusi PAC pada masa itu, Datuk Nur Jazlan Mohammad memberitahu media Deloitte belum lagi diarahkan Kementerian Kewangan untuk menjalankan audit lebih 3 bulan selepas kewangan penghujung tahun.
"Beliau berkata Deloitte 'ingin berbuat begitu tetapi belum diberi kebenaran dari kementerian'.
"Jadi Deloitte masih belum diberi arahan untuk memulakan audit lagi." kata Pua dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata walaupun dokumen mereka dipegang pihak berkuasa yang berkaitan, ia tidak patut sukar bagi Deloitte untuk mendapatkan akses kepadanya dan mempersoalkan mengapa pelaburan negara itu memerlukan 6 bulan lagi.
1MDB menjadi fokus penyiasatan pasukan kerajaan khas serta PAC. Pada Julai, pejabatnya di Kuala Lumpur diserbu dan dokumen-dokumen dirampas.
Pua menuduh 1MDB tidak pernah berniat menyiarkan akaunnya, menambah yang ini bukan kali pertama pelaburan negara tersebut lewat menghantar kenyataan kewangannya.
"Subsidiari milik penuh kerajaan itu bukan sahaja melakukan kesalahan ini berkali-kali, ia tidak pernah menghantar akaun yang sudah diaudit tepat pada masanya sejak penubuhannya pada 2009," kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.
"Persoalan yang perlu Arul Kanda jawab adalah, sudahkah Deloitte diberi kebenaran dan arahan untuk memulakan proses auditnya terhadap syarikat 1MDB?
"Adakah ini strategi Arul Kanda untuk melindungi perbuatan 1MDB dengan menangguhkan rekod-rekod 1MDB sehingga semua aset syarikat dapat dijual untuk menampung berbilion ringgit yang hilang?" kata Pua.
1MDB mengumpul hutang sehingga RM42 bilion dan sedang diperhati atas dakwaan kesalahan kewangan – skandal yang juga melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga merupakan pengerusi kepada lembaga penasihatnya.
No comments: