» » The Edge tak pernah terlibat dengan konspirasi gulingkan Najib Razak


Akhbar The Edge menafikan laporan akhbar hari ini yang mendakwa pemiliknya terlibat dengan beberapa ahli politik termasuk pengarang Sarawak Report dalam konspirasi menjatuhkan perdana menteri yang dipilih rakyat secara demokrasi.

Pengerusi The Edge Media Group Datuk Tong Kooi Ong dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan penerbit The Edge Media Group Ho Kay Tat berkata, laporan muka depan akhbar Berita Harian bertajuk "Komplot Tumbang PM" dan New Straits Times (NST) bertajuk "Rewcastle-Brown: I will celebrate when ‘Najib is Done'" adalah tidak benar.

"Kami menyangkal dakwaan NST atau mana-mana media dan individu yang mengatakan kami sebahagian daripada konspirasi politik dan kami mengubahsuai bukti berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang terus membuat dakwaan tidak berasas terhadap kami dan The Edge Media Group," kata mereka dalam satu kenyataan, hari ini.

"Kami ingin tegaskan sekali lagi, The Edge Media Group dan kami sendiri tidak pernah dan tidak terlibat dalam sebarang konspirasi politik, atau mempunyai sebarang agenda politik apabila kami menerbitkan artikel mengenai masalah dihadapi 1MDB," kata Tong dan Ho.

Mereka berkata, akhbar itu menerbitkan beberapa artikel mengenai 1MDB sejak 2013 apabila syarikat itu menghadapi masalah kewangan.

Katanya, sebagai syarikat media perniagaan, minat terhadap isu 1MDB hanya semata-mata bertujuan membongkar apa yang terjadi dalam 1MDB serta pelbagai urusan kewangan dan perniagaan yang dibuatnya sejak beroperasi pada 2009.

Tong dan Ho berkata, sesiapa yang membaca pelbagai pendedahan dibuat akhbar itu akan tahu yang ia tidak pernah mengaitkan perdana menteri, atau kerajaan secara amnya, kepada masalah di 1MDB.

"Kami tidak pernah memberikan 1MDB spin politik dalam mana-mana artikel kami.

"Kami hanya mendedahkan isu pentadbiran korporat dan meletakkan pihak pengurusan, ahli lembaga pengarah dan beberapa pihak ketiga yang terlibat dengan 1MDB bertanggungjawab atas apa yang terjadi, sepertimana yang seharusnya berlaku pada mana-mana entiti korporat," katanya.

NST dan Berita Harian hari ini mendedahkan perbualan melalui aplikasi Whatsapp selama 3 bulan membabitkan Pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown, Tong, Ho dan bekas eksekutif PetroSaudi International Xavier Andre Justo.

Mereka dikatakan berkomplot menumbangkan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, di mana Rewcastle-Brown dilaporkan dengan angkuh pernah memberitahu Justo beliau 'sedang mengubah masa depan negara ini' dan akan meraikannya dengan segelas minuman keras sebaik 'Najib tumbang'.

Kementerian Dalam Negeri menggantung permit penerbitan akhbar mingguan The Edge dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan mulai 27 Julai, atas alasan liputan penerbitan itu mengenai 1MDB "memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan atau menimbulkan kegemparan atau mungkin memudaratkan kepentingan awam dan negara".

Mahkamah Tinggi hari ini mendengar permohonan kehakiman The Edge Media Group bagi mencabar penggantungan itu, di mana peguam The Edge memberitahu mahkamah arahan penggantungan itu tidak sah.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .