» » Suara pemimpin veteran BN boleh pengaruhi rakyat Malaysia


Walaupun pemimpin daripada pentadbiran terdahulu kini mula bersuara menentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, ia tidak cukup untuk mengancam kedudukannya, kata penganalisis.

Bagaimanapun, ia mungkin mempunyai impak ke atas orang ramai kerana pengaruh yang mereka ada meskipun mereka tidak boleh meyakinkan Umno, yang diterajui Najib untuk menyingkirkan presiden parti itu, menurut pemerhatian penganalisis.

Dr Lim Teck Ghee berkata, kritikan yang meningkat daripada pemimpin bersara merupakan satu indikator mengenai betapa kecewanya mereka dengan kepimpinan Najib.

Perkembangan ini di luar daripada norma di mana ahli politik yang bersara biasanya menahan diri daripada secara terbuka mengkritik pentadbiran semasa.

Lim bagaimanapun memberi amaran, ini tidak akan menyebabkan Najib berundur, walaupun sekiranya ia berkembang menjadi kempen besar-besaran bertujuan menyingkirkan perdana menteri yang dilanda masalah itu.

"Kepimpinan Barisan Nasional (BN) sekarang masih kukuh bersama Najib, terutama daripada Umno. Mereka lebih bimbangkan kepentingan mereka sendiri, kecuali jika ia mengancam kedudukan mereka dalam parti dan kerajaan," kata Lim.

Hakikat yang ramai golongan veteran ini juga pernah berkhidmat di bawah ketua pengkritik Najib, Tun Dr Mahathir Mohamad, boleh mengurangkan kekuatan kritikan mereka.

"Mereka yang sinis mungkin akan fikir: 'Sudahlah; kamu bolehlah cakap sekarang sebab dulu kamu juga sudah menikmati keuntungannya'," kata Lim, pengarah Centre for Policy Initiative, kepada The Malaysian Insider.

Diketuai Dr Mahathir, beberapa bekas menteri daripada Kkabinet beliau baru-baru ini menyatakan secara umum pandangan mereka terhadap negara dan Najib.

Dr Mahathir yang paling tidak jemu-jemu, secara terbuka meminta Najib berundur berhubung isu dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mengumpul hutang RM42 bilion dalam tempoh 6 tahun beroperasi.

Tekanan terhadap Najib meningkat susulan pendedahan mengenai wang RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun peribadinya, sebahagian besar dipindahkan sebelum pilihan raya umum pada Mei 2013.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Tan Sri Rafidah Aziz juga aktif di akaun Facebooknya, menulis catatan penuh emosi melahirkan kebimbangan beliau berhubung isu yang didepani negara ketika ini.

Beliau yang juga bekas ketua Wanita Umno itu berkata, Malaysia akan berakhir dengan jatuh ke anak tangga paling rendah di kalangan negara penuh dengan isu rasuah dan tiada tadbir urus yang baik jika pemimpinnya gagal menangani isu sebenar yang disuarakan rakyat.

Seorang lagi pengkritik daripada Kabinet Dr Mahathir, bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin pula menggunakan blog menyuarakan pandangannya.

Pada Julai, beliau mengingatkan pemimpin Umno, mereka perlu membuat "pilihan bijak" dan memutuskan sama ada mereka mahu menyelamatkan Umno atau tidak, parti Melayu yang memerintah, dengan mengorbankan presidennya.

Sementara itu, bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik dilaporkan antara yang dilihat bersama sekumpulan rakyat Malaysia yang hadir pada perhimpunan Bersih 4 di Perth hujung minggu lalu, manakala 2 pemimpin akar umbi dari parti Cina kanan dalam BN itu menggesa 7 ahli Parlimen mereka untuk menekan Najib supaya meletak jawatan.

Tetapi semua ini tidak akan dapat menggulingkan Najib, kata pengumpul suara Ibrahim Suffian.

"Tidak dalam jangka masa pendek. Ia masih belum dapat mengumpul cukup sokongan untuk mengancam kedudukan perdana menteri," katanya.

Pengarah Merdeka Centre itu berkata, pemimpin kanan bersara itu bersuara kerana mereka masih menjiwai sentimen berterusan yang dirasai orang awam.

Oleh itu, pandangan mereka akan mempunyai impak, memandangkan beberapa orang, seperti Rafidah contohnya, masih dihormati ramai.

"Apa yang mereka katakan ada kesannya kerana rakyat apabila melihat mereka, akan teringat kepada satu era di mana ada masalah, tetapi tidak berapa serius.

"Rakyat kini tertanya-tanya sama ada pemimpin yang ada boleh menguruskan masalah yang didepani negara ketika ini," kata Ibrahim.

Penganalisis Dr Arnold Puyok berkata, Najib perlu mengambil berat kata-kata golongan veteran ini dengan memberitahu orang ramai kebenarannya dan rancangannya dalam menangani masalah.

"Tekanan perlahan-lahan semakin meningkat, jadi satu-satunya orang yang boleh menyelamatkan Najib dan kerajaan ialah Najib sendiri.

"Beliau perlu menjawab secara terbuka semua isu yang membimbangkan kita, beliau tidak boleh melepaskannya kepada mana-mana menteri lain, mereka tidak membantu beliau," kata ketua Jabatan Perhubungan Antarabangsa dan Politik Universiti Malaysia Sarawak itu.

Felo Institut Pulau Pinang Dr Wong Chin Huat berkata, pemimpin bersara tersebut mempunyai kesan paling besar ke atas orang ramai, bukannya rakan mereka dalam Umno.

"Apabila bekas pemimpin pun bercakap, rakyat biasa yang takut menyatakan pendirian mereka selama ini mungkin akan dapat diyakinkan yang sistem sedia ada memang perlukan perubahan," kata Wong.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .