» » Sedutan Khutbah Jumaat JAKIM berkaitan tajuk Hidup Sengsara Kerana Rasuah,


Individu yang mengamalkan rasuah akan sentiasa hidup dalam keresahan dan kebimbangan dan menganggap orang lain sebagai musuh yang ingin membongkar kesalahan mereka, kata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Jakim dalam teks khutbah Jumaat hari ini mengingatkan umat Islam perbuatan rasuah amat dimurkai Allah dan boleh menghancurkan masyarakat, agama dan negara.

"Mimbar menyeru sidang Jumaat yang dimuliakan, marilah sama-sama kita menjauhkan diri daripada perbuatan memberi atau menerima rasuah kerana perbuatan itu adalah merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang boleh dikenakan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi," katanya.

Jakim berkata, perbuatan rasuah adalah haram mengikut pandangan hukum Islam dan berdosa besar seperti ditegaskan Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”.

Katanya, Islam mengutuk perbuatan rasuah, menipu, pecah amanah dan mungkir janji atau sebarang sifat negatif yang merosakkan masyarakat kerana perbuatan itu mengeruhkan hubungan dalam masyarakat dan mencacatkan hubungan dengan Allah.
Katanya, mereka yang melakukan jenayah rasuah dalam apa jua bentuk dan nama akan menerima seksaan yang berat di akhirat kelak.

"Rasuah juga boleh mengakibatkan tertolaknya ibadah solat dan doa hamba kepada Tuhannya. Alangkah ruginya kerana disebabkan perbuatan rasuah, ibadah kita hanya sia-sia dan menjauhkan diri kita daripada mendapat rahmat dan inayah Allah.

"Lebih malang lagi kesan daripada perbuatan rasuah kita akan terdedah dengan malapetaka dan bencana dalam kehidupan," katanya.

Jakim berkata, pembentukan peribadi juga berkait rapat dengan sumber rezeki yang menjadi punca makanan, kemudian menjadi darah daging dalam diri kerana rezeki yang halal akan membawa keberkatan hidup di dunia dan akhirat.

Katanya, Islam amat menitikberatkan rezeki halal tetapi rezeki yang diperoleh secara rasuah, pecah amanah dan yang negatif adalah haram dan berdosa sedangkan banyak lagi bidang rezeki halal di atas muka bumi ini.

"Marilah sama-sama kita berusaha mempertingkatkan kesedaran dalam usaha menghapuskan rasuah kerana tanpa kerjasama daripada seluruh anggota masyarakat, usaha-usaha pencegahannya tidak akan berjaya.

Jakim di akhir kandungan teks juga mengingatkan umat Islam yang menolak amalan rasuah adalah manusia yang cemerlang kerana ia menjamin kesinambungan nasab dan keturunannya kekal dalam keadaan insan yang beriman.

Katanya, menolak rasuah juga dapat meningkatkan martabat dan integriti organisasi serta warganya dan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pemimpin yang berani memerangi rasuah.

Selain itu, ia juga membuktikan amalan ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji yang diamalkan individu berjaya mencegah dirinya terlibat dengan jenayah rasuah.

"Marilah sama-sama kita mempertingkatkan integriti dan menunaikan amanah dengan penuh tanggungjawab menghapuskan rasuah.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .