» » Polis umumkan Perhimpunan Baju Merah sah


Himpunan Rakyat Bersatu atau ‘himpunan baju merah’ yang dirancang pada Rabu ini dianggap sah mengikut undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini.

Khalid berkata perhimpunan itu dibenarkan selepas penganjur memperoleh kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggunakan Padang Merbok bagi menganjurkan perhimpunan itu.

Katanya, pihaknya memberikan jaminan polis akan melindungi keselamatan orang ramai di Kuala Lumpur dan mendesak rakyat usah percaya khabar angin yang menyeru bukan Melayu menjauhi kawasan pusat bandar kerana akan ada kemungkinan rusuhan.

“Sekarang, perhimpunan akan dibenarkan berlangsung. Walaupun secara peribadi, saya tidak bersetuju dengan demonstrasi tetapi kita akan benarkan kerana ia memenuhi kriteria mengikut undang-undnag berkenaan.

“Kita akan mengerahkan tenaga anggota secukupnya dan kita mampu memastikan keselamatan semua orang,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Khalid berkata memandangkan penganjur memperoleh kebenaran daripada DBKL untuk mengadakan perhimpunan itu di padang, polis akan membantu menyelaras perkumpulan itu dan memastikan ia berlangsung dengan aman.

“Kita kita akan pastikan ia berlangsung dengan aman dan berdisiplin,” katanya.

Beliau berkata polis akan memantau ucapan yang dibuat ketika perhimpunan itu dan berikrar akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang membuat kenyataan berunsur hasutan.

“Saya nasihatkan penganjur berkenaan. Saya minta mereka buktikan ini akan menjadi demonstrasi aman dan mereka akan mematuhi undang-undang. Kita akan memantau isi kandungan ucapan mereka,” katanya.

beliau juga mendesak orang ramai jangan mempercayai mesej yang tersebar memberi amaran kepada bukan Melayu supaya menjauhi ibu kota Kuala Lumpur pada Rabu kerana perhimpunan itu.

“Jangan percaya mesej seumpama itu. Mereka yang menyebarkan perkara ini sengaja mencetuskan ketakutan di kalangan kumpulan masyarakat tertentu.

“Saya boleh jamin, polis akan memastikan keselamatan semua orang,” katanya.

Perhimpunan baju merah atau Himpunan Rakyat Bersatu dikatakan diadakan untuk membalas perhimpunan Bersih 4 yang berlangsung menjelang sambutan Hari Kebangsaan, mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan susulan skandal kewangan yang dikaitkan dengannya.

Perhimpunan itu juga diadakan untuk melahirkan kemarahan berikutan rakaman peserta Bersih 4 memijak gambar Najib dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Penganjur perhimpunan itu mendakwa ia bukan perkumpulan perkauman, tetapi pengkritik mempertikaikan slogan yang digunakan “Kebangkitan Maruah Melayu” yang menunjukkan wujudkan sentimen kaum.

Polis sebelum ini mengisytiharkan perhimpunan itu haram dan berkata ia tidak dibenarkan berhimpun apabila penganjurnya sebelum ini merancang mengadakannya di Jalan Bukit Bintang.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .