Buku milik kartunis popular Zulkiflee Anwar Ulhaque yang lebih dikenali sebagai Zunar berjudul "Sapuman - Man of Steal" kini mula disiasat polis selepas seorang pembantu jualan atas taliannya dipanggil untuk disoal siasat di Balai Polis Dang Wangi, Isnin ini.
Penjual atas talian melalui laman sesawang zunar.my akan memberi keterangan pada Isnin depan di bawah Akta Hasutan, kata Zunar .
"Sapuman adalah buku kartun saya yang ke-18.
"Sebelum ini, 7 judul buku saya diharam kerajaan dan dirampas polis. Selain itu, buku-buku lain termasuk, 'Konspirasi untuk memenjarakan Anwar', 'Pirate of Carry-BN' serta 'Ros in Kangkong Land'," kata kartunis popular itu dalam satu kenyataan hari ini.
Zunar yang terkenal dengan kartun satira menyifatkan tindakan tersebut sebagai taktik menakutkan masyarakat.
"Saya mengecam tindakan ini sekeras-kerasnya kerana ia adalah satu lagi taktik terbaru polis untuk menakutkan orang ramai daripada mendapat akses membaca kartun-kartun saya.
"Pembantu jualan saya tidak melakukan sebarang kesalahan dalam urusan jualan kerana buku 'Sapuman - Man of Steal' tidak diharamkan secara rasmi oleh kerajaan," katanya.
Polis katanya, sepatutnya menyiasat orang yang mengambil RM2.6 bilion wang rakyat dan bukan mereka yang menjual buku secara sah.
Ini merupakan kali kedua pengendali jualan online bukunya disiasat polis.
November tahun lepas, seorang webmaster disiasat mengikut Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan.
Malah, polis juga menyiasat pihak yang menguruskan pembayaran secara online, MolPay, untuk mendedahkan nama-nama pembeli tetapi syarikat berkenaan enggan berbuat sedemikian.
10 Februari lepas, beliau ditangkap mengikut Akta Hasutan 1948 dan dimasukkan ke lokap selama 3 hari kerana mengkritik pemerintah berhubung penghakiman kes bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada 3 April, 2015, Zunar didakwa di mahkamah atas 9 tuduhan, juga mengikut akta tersebut.
Pada 28 Januari, 2015, pejabat Zunar diserbu ketika beliau mengadakan pameran dan program di London dan polis merampas 150 buku kartun beliau.
Ia merupakan serbuan kali ketiga oleh pihak berkuasa di pejabat beliau – kali pertama pada Ogos 2009 dan seterusnya pada September 2010, di mana lebih 500 buku komik "Gedung Kartun" dan "Cartoon-O-Phobia" dirampas.
Pihak berkuasa juga turut menyerbu pekedai, pengilang dan penerbit dan diberi amaran yang lesen perniagaan mereka akan ditarik balik sekiranya terus mencetak dan menjual buku Zunar.
sumber
No comments: