» » Polis perlu laksanakan undang-undang secara saksama dan adil kepada semua rakyat Malaysia


Polis perlu menguatkuasakan undang-undang secara saksama jika ia mahu mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat Malaysia, kata peguam, mengulas tindakan pantas diambil terhadap 2 orang yang didakwa memijak poster perdana menteri dan presiden PAS pada perhimpunan Bersih 4 hujung bulan lalu.

Mereka berkata, polis tidak sepatutnya berlaku "double standard" dengan menyiasat mereka yang cenderung kepada pembangkang tetapi menutup mata jika penyokong pro-kerajaan melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang.

"Orang ramai akan melihat kelakuan sedemikian oleh pihak polis terhadap mereka yang anti-kerajaan sebagai buli dan berat sebelah," peguam SN Nair, seorang bekas pegawai polis, berkata kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata demikian mengulas penangkapan seorang penyelia berusia 21 tahun dan teman wanitanya yang memijak poster Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa perhimpunan Bersih 4.

Mereka disiasat kerana melakukan sesuatu yang boleh mencetuskan khianat awam. Mereka dibebaskan selepas keterangan diambil.

Polis pada Jumaat dilaporkan juga menawarkan ganjaran kepada mereka yang dapat memberi maklumat yang membawa kepada penangkapan individu lain yang turut memijak poster itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Seri Delima R.S.N. Rayer (gambar, kanan) berkata, pendakwaan jenayah juga perlu diambil terhadap Umno atau kumpulan pro Umno yang melakukan perbuatan lebih menjijikkan daripada memijak gambar pemimpin negara.

Rayer yang juga seorang peguam berkata, polis perlu menangkap mereka yang menghantar kek berbentuk seperti najis manusia dan pakaian dalam wanita kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di pejabatnya di Komtar.

Beliau memetik satu lagi kejadian di mana ahli Perkasa didakwa menjalankan upacara pengebumian di hadapan rumah peribadi Lim di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang.

Katanya, semasa perhimpunan Pemuda Barisan Nasional 2010, penunjuk perasaan memijak dan membakar gambar Lim di luar DUN Pulau Pinang.

Awal tahun lepas, anggota beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyembelih ayam dan melumurkan darah pada kain rentang yang mengandungi wajah wakil rakyat DAP dan PKR di Jalan Tun Perak, di tengah bandar raya Kuala Lumpur.

Empat pemimpin pembangkang itu ialah Lim, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang dan Adun Machang Bubuk Lee Khai Loon.

Ia reaksi kepada video Tahun Baru Cina Kok bertajuk “Onederful Malaysia CNY 2014” dan flashmob oleh Lee, di mana kangkung disumbat ke dalam mulut patung kadbod Najib sebagai protes terhadap kenaikan harga barang.

Nair berkata polis perlu sentiasa ingat, untuk mengekalkan ketenteraman awam, ia bukan bertanggungjawab kepada kerajaan tetapi kepada undang-undang bertulis dan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga berkata, tawaran ganjaran kepada mereka yang mengenal pasti individu yang memijak gambar pemimpin adalah budaya yang membimbangkan kerana ia bukan satu kesalahan serius di bawah Kanun Keseksaan.

"Mungkin pesalah boleh didakwa mengikut Akta Kesalahan Kecil yang membawa hukuman denda maksimum RM100. Ia boleh dilakukan untuk menamakan dan memalukan mereka yang biadab dan kurang ajar," katanya.

Peguam Syahredzan Johan berkata, beliau tidak fikir perbuatan yang didakwa dilakukan pasangan itu suatu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan kerana ia tidak menghasut keganasan atau kerosakan harta benda.

"Polis hanya mengklasifikasikan kes itu bagi tujuan penangkapan dan penahanan jika suspek tidak menyerah diri. Ia satu bentuk gangguan dan ugutan," katanya.

Syahredzan, seorang ahli Majlis Peguam, berkata polis perlu menumpukan sumber mereka kepada isu berkepentingan awam yang lebih mendesak seperti skandal 1Malaysia Development Board (1MDB) dan menjejak mereka yang boleh membantu siasatan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen berkata, tiada apa dalam undang-undang yang menaikkan status Najib atau Hadi kepada satu kedudukan khas yang membuatkan mereka tidak boleh dicela.

"Status mereka dari segi undang-undang sama seperti mana-mana orang biasa lain dan mereka seharusnya dilayan sama seperti orang lain juga,"
katanya.

Paulsen berkata, tindakan memburu peserta Bersih itu merupakan satu penyalahgunaan Kanun Keseksaan yang serius kerana peruntukan di bawahnya tidak pernah dimaksudkan untuk melindungi tokoh masyarakat daripada kritikan awam atau penghinaan.

Beliau berkata Najib harus sedar, imej beliau jatuh di kalangan rakyat tetapi keadaan itu tidak akan boleh diperbaiki melalui penyalahgunaan kuasa untuk sesuatu yang remeh seperti memijak gambarnya.

"Kuasa dan hormat terhadap pentadbiran beliau tidak datang daripada rasa takut tetapi keyakinan rakyat. Ia bergantung sepenuhnya kepada tingkah laku dan integriti pentadbiran beliau," kata Paulsen.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .