» » Polis kaji kemungkinan kehilangan Kevin berkait pembunuhan pengasas Ambank


Pasukan Siasatan Khas Polis akan mengkaji sebarang kemungkinan kehilangan Kevin Anthony Morais mempunyai kaitan dengan semua kes di dalam negara, termasuk pembunuhan pengasas Ambank, Hussain Ahmad Najadi.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, polis komited menyelesaikan kes membabitkan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara tersebut.

"Kita akan kaji semua kemungkinan yang ada. Kita mahu selesaikan kes ini, " katanya ketika ditemui media selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2014 di Kuala Lumpur hari ini.

Rashid berkata, kes melibatkan Kevin tidak boleh dipandang ringan dan perlu diselesaikan dengan menggunakan segala kemungkinan yang ada.

"Bagi kami, ini satu kes yang serius dan polis perlu menggembleng tenaga mengenalpasti apa puncanya. Kalau ada sesiapa yang terlibat, kita perlu kenalpasti dan ambil tindakan yang sewajarnya," katanya.

Beliau turut memberitahu media, tiada sebarang panggilan berbaur ugutan dibuat terhadap keluarga Kevin.

Terdahulu hari ini, The Rakyat Post melaporkan, terdapat perkaitan dalam kes kehilangan Kevin dengan Hussain.

Portal berita itu difahamkan, Kevin mungkin mempunyai maklumat mengenai pertemuan antara Hussain dan individu tertentu di tempat pengasas bank itu dibunuh.

Kevin sebelum ini dipinjamkan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama 10 tahun sebelum kembali semula ke Jabatan Peguam Negara tahun lepas.

Sejak kehilangannya timbul pelbagai spekulasi mengaitkan beliau dengan pelbagai kes berprofil tinggi disiasat SPRM termasuk syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun Jabatan Peguam Negara menafikan penglibatan Kevin dalam mana-mana siasatan berkaitan syarikat milik negara yang sarat hutang itu.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menjelaskan, kes-kes semasa yang dikendalikan Kevin adalah bagi tujuan kesinambungan pendakwaan.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .