» » Perkhidmatan awam Malaysia ambil beberapa langkah perangi rasuah


Malaysia menunjukkan kesungguhan dalam usaha memerangi rasuah terutama dalam perkhidmatan awam dan ini dapat dilihat berdasarkan beberapa langkah yang diambil.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata dalam masa beberapa tahun, Perkhidmatan Awam Malaysia mengambil pelbagai inisiatif bertujuan mereformasikan perkhidmatan awam ke tahap etika, tadbir urus, ketelusan dan kebertanggungjawapan yang lebih tinggi.

Katanya antara langkah itu ialah penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) pada 2003 untuk melaksanakan Pelan Integriti Nasional, yang antara lain bertujuan untuk meningkatkan tadbir urus dan etika dalam sektor awam dan swasta.

Beliau berkata selain itu, di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP), memerangi rasuah adalah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang mencerminkan kesungguhan dan komitmen kerajaan Malaysia dalam memerangi rasuah.

"Dalam pada itu, Sesi Town Hall bersama media, diadakan tiga kali setahun sejak 2014 untuk memaklumkan tentang langkah dan tindakan yang diambil oleh kerajaan terhadap hasil Laporan Ketua Audit Negara dan menjawab persoalan oleh media," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Ali berkata Malaysia juga memperkenalkan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) pada 2010, untuk melahirkan pegawai integriti bertauliah dan meningkatkan lagi integriti dan etika di tempat kerja seperti termaktub di bawah Pelan Integriti Nasional.

"Satu lagi usaha ialah penubuhan Unit Integriti di semua agensi kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri pada 2013. Unit tersebut menjadi entiti pusat yang bertanggungjawab menangani isu-isu berkaitan integriti di setiap agensi.

"Dan juga memperkenalkan inisiatif dan pembaharuan di bawah Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH), usaha bersama sektor awam dan swasta yang ditubuhkan pada 2007 untuk mengurangkan kerenah birokrasi, menyelaraskan proses dan meningkatkan sistem penyampaian kerajaan. Dari kedudukan ke-24 pada 2008, Malaysia sekarang berada di ranking ke-18 dalam kalangan 189 negara," katanya.

Ali berkata Perkhidmatan Awam Malaysia memandang serius dan bimbang dengan kenyataan Pengerusi Transparency International Jose Ugaz pada Persidangan Antirasuah Antarabangsa ke-16 di Putrajaya Rabu lepas.

"Kenyataan itu, antara lain, mendakwa bahawa Malaysia menghadapi krisis rasuah. Ini secara tidak langsung meragui integriti Perkhidmatan Awam Malaysia," kata beliau.

Beliau berkata Indeks Persepsi Rasuah 2014 oleh Transparency International meletakkan Malaysia di kedudukan ke-50 di dunia dalam kalangan 175 negara sementara dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia berada di kedudukan kedua selepas Singapura dan bagi Asia Pasifik, Malaysia berada di kedudukan kesembilan selepas negara seperti New Zealand, Jepun dan Korea Selatan.

"Ranking ini oleh Transparency International adalah pengiktirafan terhadap beberapa pembaharuan yang dijalankan oleh Malaysia untuk menangani rasuah dan meningkatkan lagi tadbir urus dan integriti," katanya.

Ali berkata, dasar dan tindakan-tindakan yang diambil oleh Malaysia untuk mengurus dan mengekalkan integriti mencerminkan komitmen ke arah meningkatkan kepercayaan dan keyakinan dalam perkhidmatan awam.

"Perkhidmatan awam juga komited untuk bekerjasama secara berterusan dengan sektor swasta untuk meningkatkan kecekapan sektor awam, meningkatkan keyakinan awam dan menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam," katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .