» » Peguam negara tidak perlu ikut syor pendakwa siasatan 1MDB


Peguam negara tidak terikat dengan syor daripada penyiasat ketika memeriksa kertas siasatan yang dihantar Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung transaksi berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata bekas peguam negara Tan Sri Abu Talib Othman.

Beliau memberitahu The Malaysian Insider, ini kerana peguam negara perlu mempertimbangkan hasil siasatan itu daripada pelbagai sudut.

“Beliau perlu melihat semua bukti yang dikumpulkan dan kenyataan saksi bagi menentukan jika ada dakwaan boleh dirangka terhadap suspek berdasarkan kepada undang-undang yang digunapakai,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, orang awam perlu bersabar dengan peguam negara sekarang yang perlu meneliti kertas siasatan dihantar bank pusat berkenaan yang menyiasat 1MDB, sebuah syarikat berkaitan kerajaan itu.

Talib berkata demikian ketika menjawab soalan berapa lama tempoh yang akan diambil peguam negara untuk membuat keputusan mengenai siasatan 1MDB.

Pada sidang media baru-baru ini, Gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata penyiasatnya selesai siasatan terhadap 1MDB dan sudah menghantar kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara.

Zeti berkata laporan kepada peguam negara itu lengkap dengan syor bagi tindakan penguatkuasaan sewajarnya.

BNM adalah antara agensi penguat kuasa yang menyiasat 1MDB berhubung dakwaan salah pengurusan dan rasuah. Agensi lain ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

“Dalam membuat sebarang keputusan, peguam negara tidak terikat dengan cadangan penyiasat,” kata Talib yang menjadi peguam negara selama 13 tahun sehingga 1993.

Zeti juga enggan mendedahkan kandungan siasatan, mengatakan undang-undang negara hanya membenarkan bank pusat itu mendedahkan isi kandungannya kepada agensi penguatkuasaan dan kawal selia lain yang terbabit dalam mengambil tindakan terhadap 1MDB.

Beliau berkata, BNM memulakan siasatan tidak rasminya setahun lalu ke atas satu entiti “sangat berpengaruh” (highly leveraged) untuk melihat sama ada ia membawa sebarang risiko terhadap sistem kewangan.

Zeti berkata hasil siasatan tidak rasmi itu membawa bank pusat berkenaan mengajukan kebimbangannya kepada pihak berkenaan tetapi beliau enggan memberikan perincian lain.

1MDB menanggung hutang lebih RM42 bilion dalam tempoh 6 tahun ia beroperasi. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ialah pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Zeti berkata BNM juga memulakan siasatan rasminya tahun ini selari dengan pasukan petugas khas yang dibentuk pada Julai untuk menyiasat wang RM2.6 bilion yang dipindah masuk ke bank akaun peribadi Najib.

Pada 2 Julai, The Wall Street Journal dan Sarawak Report melaporkan AS$700 juta (RM2.6 bilion) masuk ke akaun bank Najib menerusi 3 syarikat berkaitan 1MDB.

Sementara itu, hakim bersara Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata mana-mana ahli masyarakat boleh mencabar keputusan peguam negara untuk tidak memulakan pendakwaan.

“Kedudukan undang-undang sebelum ini di mana peguam negara tidak boleh diheret ke mahkamah untuk meneliti semula keputusannya kini berubah.

"Seseorang boleh mohon semakan kehakiman untuk cabar keputusan peguam negara yang tidak mahu mendakwa,” katanya.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, salah seorang pengkritik paling lantang 1MDB, sering mendakwa Najib tidak ada jawapan mengenai skandal 1MDB dan RM2.6 bilion yang disalurkan masuk ke akaunnya.

Dr Mahathir menuduh Najib yang membubarkan pasukan petugas khas berkenaan.

“Beliau juga memecahkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan menaikkan pangkat sesetengah daripada mereka ke Kabinet yang juga satu bentuk rasuah,” katanya.

Beliau berkata polis tidak akan ambil tindakan, begitu juga dengan peguam negara yang baharu (Tan Sri Mohamed Apandi Ali).

“Tidak ada lagi kedaulatan undang-undang kerana beliau (Najib) merendahkan perlembagaan dan sistem perundangan negara ini,” kata Dr Mahathir.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .