» » Orang Sabah makin miskin akibat kejatuhan nilai ringgit yang tidak terkawal


Kesusahan kehidupan ekonomi orang Sabah yang berpendapatan rendah akan bertambah parah selepas ringgit menjunam. Secara statistik mereka ini dibahagikan kepada orang Miskin (dialek Dusun- "Mosikin") dan orang miskin tegar (dialek Dusun -"Kunsikang"). 
Pada 2007, 

Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) adalah RM960 dan Insiden Kemiskinan (IK) 16.4%. Lima tahun kemudian, PGK RM1,090 manakala IK tinggal 8.1% saja. Pada 2007, 

Pendapatan Garis Kemiskinan Tegar (PGKT) adalah RM540 dengan Insiden Kemiskinan Tegar (IKT) 3.8% berbanding dengan 2012, PGKT adalah RM660 dengan IKT berkurang ke 1.6%.

Angka dari Jabatan Statistik di atas memberitahu kita 2 perkara menarik. Yang pertama, dalam tempoh 5 tahun, IK dan IKT berjaya dikurangkan separuh. 

Bagaimanapun pada 2012, masih ada 187, 674 warga Malaysia di Sabah masih miskin (atau seramai 259,746 termasuk bukan warga Malaysia). Pada tahun sama, seramai 37,071 rakyat Malaysia di Sabah masih miskin tegar (atau 51,307 orang termasuk bukan warga Malaysia). 

Kedua, pada tahun tersebut, PGK (RM1,090) lebih tinggi daripada upah minimum RM800 untuk Sabah. Adakah Kementerian Sumber Manusia Persekutuan (arahan kerajaan, September 2012) "underestimate" kos sara hidup yang tinggi di Sabah?

 Ringgit yang berterusan menjunam dalam masa yang singkat mewujudkan "orang miskin Baru".

Berapa ramai orang Sabah berpendapatan menengah bakal menjadi orang miskin baru akibat kejatuhan nilai ringgit? Pendapatan Bulanan Isi-Rumah Purata (PBIRP) di Sabah meningkat daripada RM2, 837 pada 2007 kepada RM4, 013 (Malaysia > RM5, 000) pada tahun 2012. PBIRP adalah garis pendapatan menengah di Sabah. 

Angka nominal (termasuk inflasi) ini menunjukkan jurang perbezaan pendapatan orang miskin dan orang menengah telah bertambah jauh.

Jumlah orang berpendapatan rendah dan menengah boleh juga dianggar mengikut Laporan Penyertaan buruh. Pada 2012, Sabah mempunyai tenaga buruh seramai 1.579 juta orang (Malaysia= 13.119 juta) tetapi hanya 1.494 juta bekerja (Malaysia=12.723 juta) dengan kadar pengangguran 5.4% (Malaysia=3%) atau 85.3 ribu orang Sabah penganggur.

Walaupun jumlah orang bekerja di Sabah 12% daripada jumlah orang bekerja di Malaysia, kenapakah KDNK Sabah masih corot? Hanya 15% daripada orang Sabah yang bekerja berkelulusan tertiari (universiti/kolej) , 46.2% tamat sekolah menengah, 29.9% tamat sekolah rendah dan 8.7% tidak berpendidikan formal. 

Tahap pendidikan yang rendah menyebabkan lebih separuh daripada orang Sabah bekerja dalam industri bergaji rendah.

Sejumlah 26% bekerja dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan; 18.2% dalam sektor perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal dan 10.6% dalam sektor pembinaan. Orang yang bergaji tinggi tidak ramai. 

Hanya 10.6% dalam sektor pembuatan; 7% dalam penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman; 5.3% dalam pendidikan dan 4.9% dalam pentadbiran awam dan pertahanan.

Kos sara hidup meningkat, penggunaan yang jatuh

Apabila nilai RM merosot 30% dalam dolar, jumlah pendapatan daripada gaji, wang kebajikan, pencen dan tabungan lain tidak berubah dalam jangka masa pendek. Yang berkurang kuasa membeli setiap ringgit. 

Walaupun barangan dan perkhidmatan di Sabah tidak "disebut" atau dijual-beli dalam dolar namun kehidupan ekonomi para pengguna akan terjejas.

Bukan itu saja. Harga barangan dan perkhidmatan perlu akan meningkat. Akibatnya, orang miskin yang bergaji tetap akan terpaksa membelanjakan lebih banyak ringgit untuk membeli jumlah barangan dan perkhidmatan yang sama. 

Kekangan bajet (budget constraint) akan memaksa mereka mengorbankan perubatan atau persekolahan anak-anak untuk membeli makanan.

Sebagai pengguna, orang Sabah yang berpendapatan rendah sangat "vulnerable" kepada kejatuhan nilai ringgit. Terdapat dua sebab mengapa kos sara hidup orang kita yang rata-rata tinggal di bandar melonjak tinggi. 

Penyebab utamanya tidak lain dan tidak bukan- Inflasi Merayap. 80% perbelanjaan isi rumah orang kita adalah untuk membayar 4 keperluan asas iaitu makanan dan minuman bukan alkohol (38%); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api (29%); pengangkutan (8%); komunikasi (5%). Hanya 2% untuk kesihatan dan 1% untuk persekolahan anak-anak.

Penyebab kedua adalah cukai GST. Keperluan asas hampir semuanya secara undang-undang dikecualikan GST. 

Malangnya, kebanyakan pasar raya mengenakan GST ke atas setiap pembelian. Cukai GST tidak adil kerana ia membebankan orang miskin lebih daripada orang kaya. Para pengguna tidak atau belum tahu proses "rebat". 

Lagipun jumlah cukai dikenakan untuk setiap resit itu terlalu kecil berbanding dengan kos meminta dibayar balik. Kalau dikumpulkan sekalipun, mungkin tidak berbaloi lebih-lebih lagi kalau kita terpaksa berdepan dengan kerenah birokrasi agensi pencukaian. 

Pengguna yang dibayar balik sebenarnya masih dicukai secara tersirat. Ini kerana GST adalah Cukai Nilai Tambah Ad Volerem, 6% dikenakan atas jumlah pembelian input di setiap peringkat pengeluaran dan jual-beli di sepanjang rangkaian penawaran barangan sehinggalah barang siap tersebut dibeli pengguna.

Import barang perlu menjadi mahal

Permintaan orang miskin ke atas barangan keperluan asas adalah kurang anjal ke atas harga. Contohnya, kenaikan harga beras adalah lebih tinggi berbanding pengurangan permintaan (reaksi pengguna mengurangkan pembelian). 

Kecuali kalau mereka sanggup membeli beras rendah kualiti yang harga, khasiat (kalori sama?) rasanya kurang enak, sekalipun GST 6% masih perlu dibayar.

Pengguna miskin membelanjakan sekurang-kurang 9% pendapatan untuk membeli beras. Mereka semakin miskin kerana kemerosotan nilai ringgit mengakibatkan 2 masalah. 

Yang pertama, harga barangan keperluan seperti beras yang "terpaksa" diimport menjadi mahal. Yang kedua, apabila input pengeluaran padi tempatan seperti baja, jentera atau racun rumpai yang diimport menjadi mahal. 

Kenaikan harga barangan import ini sepatutnya dikongsi bersama pengimport (atau pengeluar) dan pengguna. Di bawah subsidi pertanian, kos pengimportan input pengeluaran dibebankan kepada pembayar cukai. 

Pengeluaran beras di Sabah boleh menampung 60% keperluan tempatan tetapi separuh daripada input pengeluarannya adalah diimport.

Keperluan beras yang selebihnya diimport melalui Bernas. Syarikat swasta yang mengimport sendiri tidak akan dapat bersaing dengan syarikat (seperti SAZARICE) yang memborong daripada Bernas yang didana wang pembayar cukai. 

Pada 2012, Sabah mengimport 243.1 (000 tan metrik) beras bernilai sebanyak RM425,792 dari Vietnam, Thailand, Pakistan, Semenanjung Malaysia (6.5%), Myanmar, Cambodia dan India. Sekiranya kuantiti Import beras pasca kejatuhan ringgit sama dengan kuantiti Import 2012, maka nilai import beras akan meningkat kepada RM553, 529,000. 

Walaupun kos freight (pengangkutan) tidak berubah, harga beras yang diimport akan meningkat selagi nilai ringgit jatuh berterusan.

Selain beras, Sabah juga mengimport ubat-ubatan dan peralatan rawatan penyakit kronik. Kejatuhan ringgit menyebabkan perbelanjaan ke atas kesihatan yang sebelum ini hanya 2% akan melonjak 32%. 

Pengguna berpendapatan menengah yang sebelum ini mampu membiayai sendiri separuh daripada kos perubatan akan bersaing dengan pesakit miskin untuk mendapatkan perubatan dari hospital awam yang dibiayai pembayar cukai.

Import Sabah keseluruhannya akan menjadi mahal berikutan kejatuhan ringgit. Anggaran kasar boleh dibuat berdasarkan jumlah import Sabah sebanyak RM37.4 bilion 2012. 

Berikut adalah barangan Import yang dijangka akan bertambah mahal; 31.4% nilai import Jentera (untuk pertanian dan pembinaan) dan kelengkapan pengangkutan, 17.9% bahan api, galian, pelincir dan lain-lain, 17.3% barang-barang keluaran kilang, 10% makanan, 9.7% bahan kimia (baja dan input pertanian lain) dan selebihnya 13.7% yang Lain-lain.

Kejatuhan ringgit yang mendadak serta berterusan akan menyebabkan nilai dan jumlah KDNK mengecut (shrinking) berikutan kemerosotan nilai eksport.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .