» » Maria belum sedia gantung T-shirt BERSIH hingga capai perubahan dalam kerajaan Malaysia yang korup


Maria Chin Abdullah, penggerak utama perhimpunan Bersih 4 minggu lalu, pada mulanya tidak yakin acara itu akan berjaya meskipun orang datang begitu ramai pada Sabtu lalu.

Dirancang sebagai bantahan 34 jam bermalam pertama di negara ini, dan sehingga tengah malam Sabtu pun, beliau masih ragu sama ada orang ramai akan bertahan atau tidak.

Dan ternyata, mereka menjayakannya.

“Titik perubahannya ialah selepas tengah malam bila saya lihat mereka tidur hanya beralaskan kertas keras dan surat khabar, di mana-mana di Jalan Tun Perak dan berhampiran Dataran, ada yang tidur atas rumput dan di kaki lima.

“Ia sangat mengharukan saya,” kata Maria, pengerusi Bersih 2.0 itu kepada The Malaysian Insider.

Maria sendiri membawa beg tidurnya dan tidur berhampiran pengadang di Dataran Merdeka kerana bimbang jika ada peserta yang tidak terkawal, atau ejen provokasi menceroboh pengadang itu dan menukar perhimpunan itu menjadi huru-hara.

Katanya, pemandangan ribuan yang tidur di atas tanah memberitahu dirinya, bantahan semalaman kali pertama dalam negara itu adalah satu kejayaan.

Katanya, beliau akan kenang saat itu di mana jalan-jalan menuju ke pusat perhimpunan berkenaan dipenuhi dengan orang ramai yang menyalakan lampu mereka dan menerangi langit pada Sabtu itu.

Pada awal Sabtu itu, ribuan peserta memenuhi jalan raya menuju ke Dataran Merdeka sejak tengah hari di bawah terik mentari semata-mata demi perubahan institusi kerajaan.

“Saya bimbang kami tidak dapat menarik rakyat,” katanya.

Aktivis yang berpengalaman itu juga melahirkan kebimbangannya sesuatu mungkin terjadi ketika peserta sedang nyenyak tidur.

“Kami menjangkakan sesuatu mungkin terjadi pada malam itu, ketika kami benar-benar nyenyak tidur. Tetapi kami ada di situ, di pengadang dan kami tiada masalah,” katanya.

Penganjur Bersih 4 mementingkan keperluan agama masing-masing dipenuhi dengan mesej semua pihak boleh berhimpun bersama walaupun berbeza agama. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 September, 2015.

Maria enggan menyatakan jika perhimpunan Bersih minggu lalu adalah terbaik setakat ini walaupun hakikatnya ia direkodkan melibatkan peserta paling ramai dengan anggaran 500,000 orang.

Sebaliknya, beliau berkata Bersih 4 ada “impak tambahan", disebabkan kejayaan 3 perhimpunan terdahulu anjuran badan pemantau perubahan pilihan raya itu.

“Ada impak dalam perhimpunan sebelum ini, kalau tidak, orang ramai tidak akan mengambil bahagian kali ini.

“Kita dapati wujud perubahan seiring dengan perjalanan kami. Perhimpunan pertama membawa kepada sistem 2 parti. Kedua, kita ada jawatankuasa pemilih Parlimen untuk reformasi pilihan raya. Dan selepas Bersih 3, mereka membenarkan rakyat Malaysia di luar negara untuk mengundi,” katanya yang menjadi aktivis sejak zaman belajar di London pada 1970-an.

Maria juga memberi pujian kepada perhimpunan terdahulu yang menggabungkan semua bangsa, mengatakan peserta tidak membezakan diri masing-masing berdasarkan kaum lagi tetapi bersatu sebagai bangsa Malaysia.

“Apabila sampai kepada Bersih 4, kita tanya peserta apa kaum mereka dan mereka akan hanya kata mereka rakyat Malaysia, kita tutup jurang bangsa dan agama.

“Semua penganut berbeza agama mengadakan sembahyang masing-masing di perhimpunan itu dan itu sangat penting bagi saya kerana saya sangat mementingkan keperluan agama masing-masing dipenuhi, supaya mesejnya ialah kita boleh berhimpun bersama walaupun kita berbeza agama,” katanya.

Ketika ditanya apa yang memberi kekuatan kepadanya untuk terus bertahan dan bergerak dalam merancang perhimpunan bermalam itu sebegitu lama, Maria ketawa dan berkata beliau sebenarnya “separuh mati" dan berharap dapat berehat.

Tetapi kemudiannya, ketika bercakap mengenai pasukannya yang dikatakan menjadi kuasa di belakangnya, Maria mengalirkan air mata.

“Mereka bekerja keras,” katanya merujuk kepada ahli pasukannya dan bergenang air matanya.

“Dan anda hanya teruskan, terus bergerak.

“Dan harapan daripada rakyat buat anda terus menggerakkannya,” katanya, cuba mengawal perasaan.

Langkah seterusnya untuk Bersih?

Maria realistik perubahan tidak datang dengan mudah dan ada banyak kerja keras perlu dilakukan.

“Kami sangat praktikal, kita boleh menyeru kepada perubahan tetapi kami bukan orang yang dipilih sebagai wakil rakyat. Jadi kami tidak boleh memulakan langkahnya.

“Orang yang boleh melakukannya ialah ahli Parlimen, dengan mempertahankan apa yang benar, menghentikan rasuah dan salah guna kuasa.

“Siapa lagi yang ada untuk selamatkan negara ini jika mereka tidak mainkan peranan mereka,” katanya.

Menunggu perubahan itu berlaku, Maria berkata, beliau belum mahu menggantung t-shirt Bersih 4 miliknya, sambil mengatakan beliau masih ada temu bual dengan media yang sudah dijadualkan.

“Saya masih belum sedia untuk berhenti.

“Dan saya tidak akan gantung t-shirt Bersih saya hingga kita dapat capai perubahan itu,” katanya yang akan mencecah usia 60, tahun depan.

Perhimpunan Bersih 4 mendesak pilihan raya yang bebas dan adil serta kerajaan bebas rasuah.

Ia juga mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan kerana kepimpinannya dikritik susulan kaitan dengan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .