» » Lagu baharu OAG hasil inspirasi buku tulisan Dr Mahathir iaitu The Malay Dilemma


Vokalis kumpulan OAG Radhi mendedahkan buku tulisan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu The Malay Dilemma telah memberinya inspirasi untuk menulis lagu terbaharu berjudul BawahTanahAyer.

Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 38, berkata, dia mendapat idea tersebut selepas melihat tajuk dan membaca sinopsis buku berkenaan tanpa membaca keseluruhan isu kandungannya.

"Jujur saya tidak baca buku berkenaan cuma dengan melihat tajuk dan sinopsisnya saya terus mendapat ilham untuk menulis lirik lagu itu.

"Saya ingin menyatakan pandangan peribadi terhadap nilai kemanusian yang semakin lemah selain ingin mengangkat semangat patriotik di kalangan masyarakat," katanya kepada mStar Online.

Radhi ditemui pada sidang media pelancaran single dan muzik video BawahTanahAyer di pejabat Warner Music Malaysia di sini, Khamis.

Selain Radhi, OAG turut dibarisi oleh generasi pemuzik kelima kumpulan tersebut iaitu Nizam (gitar), Azam (drum), Nazrin (bass) dan Izmer (keyboard & biola).


Dalam pada itu, Radhi berkata, BawahTanahAyer bukan sebuah lagu berunsurkan patriotik sebaliknya sebagai satu usaha untuk memupuk semangat patriotik di kalangan masyarakat Malaysia.

Bagaimanapun kata Radhi, bait-bait lirik lagu tersebut relevan dengan situasi yang sedang melanda negara ketika ini biarpun ia dihasilkan hampir sepuluh tahun lalu.

"Demo lagu ini sebenarnya dihasilkan pada 2005 tetapi saya simpan lagu ini kerana ia sentiasa berubah dari segi lirik dan tajuk sehinggalah kami memilih tajuk sekarang pada tahun lalu.

"Ia bukan berkisar mengenai politik tetapi suara peribadi saya sebagai penulis lirik untuk melihat semua bangsa Malaysia bersatu tidak kira apa ideologi politik masing-masing.

"Kebetulan ia kena dengan pelbagai situasi yang melanda negara sekarang jadi saya kira ia sesuai untuk menyatukan semua bangsa rakyat Malaysia agar hidup aman damai," jelasnya.

Sementara itu, Radhi berkata, single terbaharu berkenaan adalah kemunculan semula mereka dari OAG selepas 10 tahun tidak muncul dengan sebarang produk baharu.

Malah kata Radhi, mereka kini sudah pun mengumpul 10 buah lagu untuk album terbaharu berjudul Orang EP 02 yang bakal dilancarkan selewat-lewatnya pada tahun hadapan.

"Kami sudah ada 10 lagu dan akan masuk studio dalam masa terdekat tetapi kami tidak mahu terburu-buru kerana ingin memastikan hasilnya nanti adalah yang terbaik.

"Kami namakan Orang EP 02 sebagai kesinambungan kepada album terdahulu iaitu Orang EP 01 yang dilancarkan 10 tahun lalu," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, video muzik lagu berkenaan telah pun dilancarkan di YouTube sejak minggu lalu.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .