» » Gesa Najib Razak bentangkan pelan penyelesaian skandal 1MDB di Parlimen


PKR hari ini menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan pelan terperinci bagi menyelesaikan masalah dana sarat hutang milik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Parlimen.

Gesaan itu dibuat Setiausaha Agungnya Rafizi Ramli selepas Najib semalam sekali lagi mengulangi komitmen beliau yang masalah 1MDB akan selesai dalam masa 5 bulan akan datang, selepas memberi jaminan sama sebulan lalu.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, orang ramai perlu tahu siapa pihak ke-3 yang akan membantu negara melangsaikan hutang itu memandangkan Putrajaya sebelum ini cenderung menggunakan wang daripada institusi awam bagi tujuan sama.

"Setakat ini, rakyat mengetahui badan pelaburan awam seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT, melalui anak syarikat) semuanya terdedah kepada risiko kewangan 1MDB apabila mereka ada urus niaga kewangan dengan 1MDB.

"Jika sebelum ini pun pentadbiran Najib dengan mudahnya mengheret tabung-tabung awam ini membantu 1MDB, apakah jaminan beliau tabung-tabung ini tidak digunakan secara senyap-senyap untuk menyelamatkan 1MDB?" soal Rafizi dalam satu kenyataan.

Beliau tidak menolak kemungkinan akan ada bantuan dari institusi kewangan atau negara-negara teluk bagi menyelesaikan perkara itu dan katanya, ia kebiasaannya tidak diberi secara percuma.

"Ini mungkin sebahagian kecil dari pelbagai jalan yang diusahakan pentadbiran Najib bagi menyuntik dana ke dalam 1MDB.

"Tidak ada negara, bank atau institusi kewangan di dalam dunia ini yang akan memberikan bantuan kewangan secara percuma kepada 1MDB dalam keadaan kewangannya yang tenat seperti sekarang.

"Sebarang bantuan atau suntikan kewangan sudah tentu akan diberikan dengan syarat yang begitu ketat dan menguntungkan mereka sebagai timbal balik kepada risiko kewangan besar yang mereka tanggung," katanya.

Rafizi turut menyenaraikan 6 soalan yang perlu dijawab Najib dalam pembentangan itu kelak.

Ia termasuk terma terperinci yang melibatkan tanggungan kerajaan dan rakyat, jumlah kos keseluruhan yang melibatkan dana awam dan sekiranya sebarang harta atau tanah milik awam terlibat dalam urus niaga itu.

"Adakah pihak yang menyuntik dana akan mendapat apa-apa kontrak atau balasan kewangan lain yang tidak berkaitan dengan 1MDB tetapi ditanggung atau dianugerahkan kerajaan Malaysia atau mana-mana agensi kerajaan Malaysia?

"Adakah Malaysia memberikan sebarang jaminan untuk menanggung hutang atau suntikan dana baharu ini? Siapakah individu terbabit yang merundingkan dan akan mendapat keuntungan daripada urus niaga itu?" soalnya.

Rafizi menekankan kepentingan membentangkan secara terperinci sebarang urus niaga kewangan baharu melibatkan 1MDB bagi mengelakkan berulangnya skandal melibatkan harta kerajaan dan jaminan kerajaan yang akhirnya merugikan rakyat.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .