» » Gadis bakal SPM dicekup dalam hotel bersama kekasih lepasan SPM


Tinggal lebih kurang dua bulan lagi, namun seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seolah-olah tidak ambil kisah apabila ditahan kerana disyaki berkhalwat dalam bilik hotel sekitar bandar Alor Setar.

Dalam ops maksiat itu, remaja perempuan berusia 17 tahun ditahan kerana disyaki berdua-dua dalam keadaan mencurigakan bersama kekasih lepasan SPM pada Sabtu lepas.

Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa dan Undang-undang Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik), Syeikh Mohd Roshidi Mahmud berkata, mereka antara ditahan dalam operasi selama enam jam bermula 11 malam berkenaan.

“Ketika disoal, mereka memaklumkan menginap di bilik hotel kerana ingin berehat, malah belum memiliki hasrat untuk berkahwin.

“Pelajar tingkatan lima dari Perlis dipercayai berkenalan dengan pasangannya sejak dari sekolah,” katanya.

Menurutnya, mereka antara tujuh pasangan berusia 17 hingga 44 tahun termasuklah seorang janda anak tiga bersama lelaki muda berusia 23 tahun di sebuah hotel berasingan.

Katanya, masing-masing memberi pelbagai alasan kepada penguat kuasa Jaik untuk melepaskan diri selepas ditahan, bagaimanapun gagal membuktikan diri sebagai suami isteri sah.

Turut ditahan, seorang wanita berusia 22 tahun dipercayai dari Gunung Keriang bersama pasangannya berusia 23 tahun dari Pokok Sena dalam sebuah bilik hotel lain.

Ketika ditahan, wanita berkenaan hanya memakai baju dan tuala, dengan alasan terpaksa berpakaian sedemikian disebabkan sedang membasuh pakaian dalam bilik air.

Difahamkan, wanita berkenaan memaklumkan dia sudah beberapa kali menyewa bilik hotel sedemikian demi membasuh pakaiannya yang sudah kotor ataupun diguna.

Roshidi berkata, antara faktor kes sedemikian, adalah kurang didikan agama sehingga individu berkenaan sanggup melakukan sesuatu berlandaskan nafsu sahaja.

Disebabkan ini, katanya, kebanyakan mereka terpengaruh melakukan perbuatan tidak moral sedemikian sehingga menjejaskan kehidupan mereka sendiri.

Untuk itu, menurutnya, pihak Jaik akan mengadakan operasi sedemikian dari semasa ke semasa dalam usaha mencegah kegiatan maksiat di kawasan berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-dua sekali.





About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .