» » Dr Mahathir puji Anina kerana Malaysia yang semakin parah kerana rasuah perlukan rakyat seperti beliau


Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi kata semangat kepada ahli Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin walaupun berdepan risiko akibat tindakannya melawan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Dr Mahathir dalam sepucuk surat kepada Anina memuji tindakannya yang berani mencabar Najib dan mahu beliau terus bercakap benar walaupun tidak disukai setengah pihak.

"Saya harap saudari terus bercakap benar walaupun ia menjadikan saudari tidak disukai oleh setengah pihak.

"Jangan sesekali berputus asa. Negara kita memerlukan rakyat seperti saudari," kata Dr Mahathir dalam sepucuk surat yang dilihat oleh The Malaysian Insider yang dihantar menerusi WhatsApp oleh Anina sendiri.

Dr Mahathir juga berkata berbangga dengan tindakan berani Anina itu kerana tidak ramai yang sanggup mengikut langkahnya yang menyaman Najib di mahkamah.

"Saya berasa bangga dengan tindakan berani saudari.

"Tidak ramai orang yang berani untuk bercakap benar berkaitan pemimpin tertinggi kita kerana ditakuti dituduh sebagai pengkhianat," katanya lagi.

Anina yang sebelum ini terkenal kerana video ucapannya mengkritik Najib memfailkan saman terhadap presiden Umno itu dan Setiausaha Kerja Datuk Ab Rauf Yusoh pada Jumaat lepas berhubung derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadi perdana menteri.

Anina meminta Najib bertanggungjawab atas kronologi peristiwa yang melibatkan aliran wang RM2.6 bilion yang berakhir dalam akaun bank peribadi perdana menteri itu.

Susulan daripada tindakannya itu, Anina dipecat Umno menerusi sepucuk surat yang dihantar oleh ibu pejabat ditandatangani oleh Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Dalam surat pemecatan yang sedang viral di media sosial hari ini, beliau dipecat daripada parti mengikut Fasal 20.7 Perlembagaan Umno kerana membawa hal parti ke mahkamah.
Anina bagaimanapun mendakwa pemecatannya sebagai tidak sah dan mempertahankan tindakan menyaman Najib adalah mengikut Perlembagaan parti.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .