» » Demonstrasi sahaja cara yang berkesan kerana saluran undang-undang telah korup dan disalahgunakan Najib Razak


Saya hadir dalam tunjuk perasaan anjuran Bersih pada 29 dan 30 Ogos lalu. 

Ramai yang tertanya-tanya apakah saya sudah jadi penyokong Bersih.

Apakah saya sokong parti lawan DAP dan Lim Kit Siang.

Ada juga yang bertanya saya sudah memihak kepada orang Cina.

Saya pernah menyatakan demonstrasi jalanan tidak harus diguna untuk tekanan politik kerana ia menjejaskan perniagaan terutama perniagaan kecil dan ekonomi negara. 

Apakah sekarang perbuatan saya tidak menunjuk sifat berdolak-dalik dalam politik.

Saya tidak setuju dengan tunjuk perasaan JIKA ada saluran lain yang boleh digunakan untuk menekan kerajaan apabila menyalahgunakan kuasa.

Kita boleh buat laporan polis, dengan harapan polis dan pendakwa raya akan ambil tindakan, menghadapkan pihak yang dituduh ke mahkamah.

Tetapi sekarang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah bubar dan musnahkan institusi kerajaan yang ditugas untuk melindungi hak rakyat.


Apabila dituduh melesapkan duit kerajaan melalui 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Najib serah siasatan kepada Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Dewan Rakyat. 


Rakyat disuruh tunggu sehingga siasatan oleh badan-badan ini selesai.

Apabila wang sebanyak RM2.6 bilion terdapat dalam akaun peribadi Najib, dan beliau tidak dapat menafikan duit ini ada dalam akaunnya

Ramai yang bertanya daripada mana duit ini datang, dan penjelasan yang munasabah tidak dapat diberi oleh Najib, maka satu pasukan bertugas dibentuk untuk secara rasmi menyelidik wang ini.

Pasukan ini terdiri daripada pendakwa raya, ketua polis negara, ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan gabenor Bank Negara.


Rakyat menunggu hasil siasatan ini. 

Tiba-tiba pendakwa raya disingkir oleh Najib, Ketua SPRM diarah bercuti, dan gabenor Bank Negara diugut kononnya kerana Bank Negara bocor maklumat dan terhentilah siasatan oleh badan ini.

Pada masa yang sama pengerusi PAC dan 3 lagi ahli diberi jawatan dalam kerajaan dan siasatan berkenaan wang 1MDB oleh PAC pun dihentikan.


Beberapa pegawai polis dan lain-lain pegawai dipindah ke jawatan lain supaya tidak lagi dapat meneruskan siasatan.

Yang ditinggal dan yang baharu dilantik adalah orang yang tidak tunjuk minat untuk membuat siasatan, bahkan sengaja menghalang apa-apa siasatan terhadap 1MDB dan duit RM2.6 bilion dalam akaun Najib.

Semua saluran untuk menyiasat 1MDB dan RM2.6 bilion dalam akaun Najib sudah tidak lagi ada.

Sebaliknya Najib dan konco-konconya sering mendakwa duit RM2.6 bilion adalah derma. 

Tidak pula diperkenalkan penderma, punca kekayaannya, bentuk wang yang diberi, bank yang terlibat dan lain-lain butiran. 

Sebenarnya dakwaan ini tidak boleh diterima akal.

Kepada pemimpin Umno, Najib mendakwa RM2.6 bilion ini adalah untuk Pilihan Raya Umum ke-14. 

Jika untuk parti belanja membeli nasi lemak atau minuman atau sewa kereta seperti dahulu, jumlah ini beratus kali ganda wang yang diperlukan.

Tetapi untuk sogok pemimpin dan ahli Dewan Rakyat dengan berjuta setiap seorang, untuk sogok pegawai supaya menipu, besar kemungkinan wang sebanyak RM2.6 bilion diperlukan.

Jika Najib menang kerana sogok wang, dia akan perlu lebih banyak wang lagi untuk mengekalkan dirinya sebagai perdana menteri dan untuk PRU14. 

Dari mana akan datang berbilion lagi jika tidak secara haram.

Malaysia akan diperintah oleh seorang perdana menteri yang bergantung kepada rasuah. 

Najib sendiri berkata “Cash is King” (wang tunai adalah raja). 

Raja inilah yang disembah oleh Najib.

Najib akan nafi tetapi keadaan negara sekarang amat buruk. 

Hubungan antara kaum tegang. 

Nilai ringgit dan saham jatuh dengan teruknya jauh lebih teruk daripada Thailand, Singapura dan negara lain. 

Kos sara hidup melambung naik kerana cukai barangan dan perkhidmatan (GST). 

Hutang negara bertimbun.

Inilah masa depan Malaysia jika Najib kekal. 

Segala cara menukar perdana menteri yang mengikut undang-undang dan Perlembagaan negara sudah ditutup oleh Najib. 

Hanya dengan suara keramat rakyat dibantu dengan undi tidak percaya Dewan Rakyat sahaja yang boleh menjatuhkan Najib dan menyelamatkan negara daripada perasuah.

Oleh itu, saya terpaksa menyertai demonstrasi jalanan anjuran Bersih yang bertema “singkirkan Najib kerana rasuah”, dan saya rayu kepada ahli Dewan Rakyat Umno dan BN supaya menyokong undi tidak percaya kepada Najib. 

BN tidak akan jatuh selepas Najib disingkir. 

BN masih parti majoriti.

Selagi Najib berkuasa selama itulah ekonomi merosot, nilai ringgit jatuh, saham jatuh, kos sara hidup meningkat kerana GST, hutang negara bertimbun dan tidak dapat dibayar, pengangguran bertambah, berbilion duit rakyat disalahgunakan.

Inilah nasib yang menunggu Malaysia kerana Najib Razak .

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .