Rizab Persekutuan AS lambat laun akan menaikkan kadar faedahnya dan negara serta perniagaan perlu bersiap sedia untuk menghadapi kesannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
Menurutnya, keputusan Rizab Persekutuan untuk tidak mengubah kadar faedah pada hampir sifar, adalah sesuatu yang dijangka.
Bagaimanapun tidak ada negara akan terus mempunyai kadar faedah sifar selama-lamanya kerana jika tidak dinaikkan bulan ini ia mungkin berlaku pada Oktober atau Disember tahun ini, tambahnya.
"Sudah pasti berlaku banyak spekulasi dalam pasaran, tetapi negara dan perniagaan perlu menjangka pada masa depan kadar itu akan bergerak dan bersedia menghadapi kesannya.
"Malaysia akan kekal fokus kepada ekonomi domestik untuk memastikan pertumbuhan yang berterusan," kata Wahid pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Peneraju Profesional Jurutera Lokomotif di Shah Alam, hari ini.
Program latihan hasil kerjasama CNC Engineering Sdn Bhd dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera itu bertujuan meningkatkan jumlah profesional jurutera bertauliah dalam industri kereta api.
Wahid berkata, 30,000 profesional dan jurutera mahir diperlukan untuk memenuhi keperluan industri kereta api menjelang 2030 dan memenuhi projek yang sedang dilaksana serta projek masa depan yang diumum kerajaan.
Mengenai pembiayaan RM20 bilion untuk ValueCap Sdn Bhd melabur dalam pasaran saham, Wahid berkata, mesyuarat akan diadakan dengan ketiga-tiga pemegang saham hari ini bagi menjayakan rancangan itu.
Pada Selasa, beliau mengumumkan yang dana itu akan diperoleh daripada pemegang saham ValueCap, iaitu Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Persaraan dan Permodalan Nasional Bhd.
Wahid berkata, pendekatan ValueCap tidak akan menjadi meluas, tetapi menyasar untuk mengenal pasti saham yang mempunyai asas yang kukuh, menguntungkan, hasil dividen yang baik dan mempunyai model perniagaan yang mantap.
Berdasarkan rekod pencapaiannya, pelaburan ValueCap diurus secara profesional, katanya, dengan menambah sejak beroperasi 11 tahun lalu, cabang pelaburan kerajaan itu mampu menjana pulangan 15 peratus setahun dan mengumpul keuntungan RM8 bilion.
sumber
No comments: