DAP hari ini mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjawab sekiranya beliau memberikan kebenaran kepada perjanjian dengan jaminan antara syarikat International Petroleum Investment Corporation (IPIC) dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk dana berjumlah AS$3.5 bilion dalam bentuk bon.
Setiausaha publisiti kebangsaannya, Tony Pua berkata The Wall Street Journal (WSJ) minggu lalu mendedahkan 1MDB meminjam AS$3.5 bilion dengan jaminan IPIC dan meletakkan AS$1.4 bilion "deposit boleh bayar balik" sebagai cagaran dengan IPIC.
Syarikat itu kemudiannya menamatkan pilihan yang diberikan kepada IPIC atau anak syarikatnya, Aabar Investment dan membayar pampasan AS$993 juta daripada November 2014, AS$1.22 bilion daripada pelaburan 1MDB di Kepulauan Cayman dan AS$975 juta pinjaman daripada konsortium yang diketuai Deutsche Bank.
Ekoran itu, 1MDB masih lagi berhutang IPIC sejumlah AS$481 juta sehingga 31 Disember, 2014.
Beliau berkata, syarikat itu turut membayar sejumlah AS$300 juta kepada Goldman Sachs sebagai komisen, bayaran dan perbelanjaan kerana menguruskan bon tersebut.
Berdasarkan fakta itu, Pua berkata, 1MDB akhirnya menanggung defisit sebanyak AS$649 juta.
"Ini bermakna syarikat yang dimiliki Kementerian Kewangan itu akhirnya kekurangan tunai selepas membuat pinjaman!
"Apa lagi yang lebih teruk daripada itu?
"Mengapa 1MDB meminjam begitu banyak wang, menyebabkan ia berhutang RM15.4 bilion dengan kadar tukaran mata wang sekarang, sedangkan 1MDB tidak langsung dapat menggunakan dana itu?," katanya yang juga ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dalam satu kenyataan hari ini.
sumber
No comments: