Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberi amaran terdapat sesetengah pemimpin politik yang memainkan sentimen perkauman demi mencapai objektif mereka.
Berucap dalam program di kawasan parlimennya di Pagoh hari ini, bekas timbalan perdana menteri itu berkata, pemimpin-pemimpin itu cuba menunjukkan seolah-olah mereka hero bagi komuniti mereka, namun ia sebenarnya menimbulkan perasaan takut kepada kaum lain.
"Apabila dia dilakukan sesetengah pemimpin politik dengan tujuan politik mereka, bukan tujuan kebaikan negara tapi kepentingan dengan kaum dan politik yang sempit maka mereka menyuarakan seolah-olah mereka hero pada kaum mereka.
"Tetapi pada masa sama mencetuskan perasaan bimbang dan takut khasnya masyarakat lain. Ini tak baik," katanya.
"Saya tak mahu orang Pagoh dalam keadaan sebegitu, tapi Pagoh semuanya ok, tidak ada gaduh," kata Muhyiddin.
Beliau turut mengingatkan, sekiranya setiap kaum bertelagah, masalah dan isu dalam negara tidak akan dapat diselesaikan.
"Kerana kita banyak masalah, macam mana nak selesai masalah kalau gaduh sesama sendiri.
"Sekarang ini pun ada masalah, masalah ekonomi, berkaitan keselamatan, ekonomi tidak baik," katanya.
Muhyiddin turut menyeru agar hubungan antara masyarakat terpelihara bagi mengelakkan tercetusnya kebimbangan membabitkan kaum.
"Kita mahu supaya soal berkaitan hubungan masyarakat mesti dipelihara.
"Mutakhir ini kita agak keliru dan sesetengah pihak bimbang kerana seolah olah timbul bibit-bibit perasaan perkauman di kalangan kaum-kaum yang ada di negara kita.
"Bila ada satu pihak anjurkan sesuatu program ia dianggap program perkuaman. Mungkin mereka mempunyai tujuan tertentu atau objektif yang nak mereka capai tetapi kerana sudah wujud perasaan yang agak tak selesa ini maka timbul perasaan curiga mencurigai antara satu sama lain," katanya.
"Sehingga kadang-kadang dengan berlaku satu peristiwa di Kuala Lumpur beberapa minggu yang lalu, maka dia cetuskan satu keadaan tidak tenteram, ada sedikit perselisihan faham dan cetus hubungan tak sihat."
Keadaan itu katanya sekaligus menimbulkan suasana takut dalam negara.
"Ini menggemparkan rakyat di negara ini. Kalau orang meniaga rasa takut maka turup kedai warung kerana takut kalau buka kedai boleh mengancam keselamatan nyawa dan keselamatan mereka," katanya.
sumber
No comments: