Sekumpulan mahasiswa hari ini membuat satu laporan menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung kemasukan wang derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya.
Pengerusi Gerakan Mahasiswa Selamatkan Negara Mohmad Luqman Nul Haqim Zul Razali mendakwa, kemasukan sejumlah wang yang besar tersebut dianggap sebagai suapan.
"Mengikut Seksyen 3 Akta SPRM 2009, pemberian derma juga dianggap sebagai suapan sekiranya ia bagi tujuan untuk mendapatkan balasan," katanya di hadapan ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini selepas membuat laporan.
Pada masa yang sama, beliau mengharapkan agar siasatan tersebut tidak menerima sebarang gangguan daripada mana-mana pihak.
Salah seorang ahlinya, Nazri Nazir mendakwa jumlah RM2.6 bilion tersebut tidak diberikan begitu sahaja tetapi bersebab.
"Kita rasa RM2.6 bilion ini bukan masuk saja-saja. Bukan derma saja-saja.
"Kemasukan dalam akaun peribadi perdana menteri ini adalah bertentangan dengan prinsip seorang penjawat awam.
"Kita buat laporan kepada SPRM supaya mereka siasat adakah benar atau tidak tanggapan terdapat rasuah dalam RM2.6 bilion ini. Biar ada siasatan," katanya.
Pada Isnin, SPRM mengesahkan sejumlah RM2.6 bilion dimasukkan ke akaun Najib sebagai sumbangan derma, bukan daripada syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Rabu lalu dilaporkan agensi bebas itu akan memanggil Najib bagi mendapatkan penjelasan berhubung sumbangan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya.
SPRM berkata pihaknya sudah mengenal pasti identiti penderma yang berasal dari Timur Tengah itu dan mendapatkan penjelasan daripadanya tetapi tidak menamakannya.
No comments: