» » Undang-undang mengenai dana politik tidak bermakna tanpa Integriti dan Kebebasan dalam Menguatkuasakannya


Undang-undang baharu mengenai dana politik tidak bermakna tanpa integriti dan kebebasan dalam menguatkuasakannya, kata penganalisis yang ragu-ragu pentadbiran sedia ada benar-benar jujur mengubah cara parti itu beroperasi.

Malah, aktivis anti rasuah seperti Cynthia Gabriel berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu berterus-terang dulu mengenai RM2.6 bilion pada derma politik yang diterima bagi membuktikan beliau serius mengenai pembaharuan dana politik.

Pada masa sama, Dr Wong Chin Huat, seorang penganalisis politik yang terlibat dalam perubahan pilihan raya berkata, dengan hanya mengadakan undang-undang itu untuk menangani derma politik tidak akan benar-benar menyelesaikan masalah wang yang mempengaruhi polisi dan membuat keputusan.

Pengawalseliaan yang efektif untuk pembiayaan politik hanya berkesan apabila ia datang dalam satu pakej pembaharuan yang memberi manfaat kepada semua parti politik, membolehkan semua orang melihat ke mana wang tersebut disalurkan dan memberi kuasa kepada penyiasat mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan tersebut.

Pakej, bukan pembaharuan sedikit demi sedikit


Dengan mengandaikan Putrajaya jujur dalam mengawal selia pembiayaan politik tersebut, Putrajaya perlu terlebih dulu serius dalam memastikan mana-mana parti mendapat akses yang sama rata kepada dana itu.

Wong , penganalisis dari Institut Pulau Pinang berkata pihak kerajaan juga perlu dibendung daripada menggunakan aset negeri seperti kakitangan awam, bangunan dan kenderaan dalam kempen pilihan raya.

Salah satu cara untuk memastikan akses yang sama rata adalah untuk mempunyai beberapa bentuk pembiayaan awam semasa pilihan raya dan memastikan mereka mempunyai akses kepada semua media, elektronik dan cetak.

Dalam negara demokrasi yang matang, parti politik layak mendapatkan dana awam jika sebelum ini, mereka berjaya mendapatkan bilangan minimum bagi semua undi, kata Wong.

"Begitu juga apabila tiada pilihan raya, wakil rakyat daripada semua pihak perlu mendapatkan jumlah sama bagi dana pembangunan kawasan mereka. Ini perlu dilakukan kepada kedua-dua parti, Barisan Nasional dan wakil pembangkang," kata Wong, yang mengetuai bahagian penyelidikan politik dan sosial Institut Pulau Pinang.

Pembiayaan awam akan membantu parti politik terus bertahan tanpa perlu bergantung kepada wang persendirian yang membawa pulangan.

Tidak wajar dengan hanya dengan mempunyai undang-undang jika ahli politik tidak bertanggungjawab dan bersikap terbuka tentang ke mana wang tersebut datang dan inilah sebabnya mengapa perlunya ada akta kebebasan maklumat, kata Wong.

"Ini supaya orang ramai boleh mengakses akaun sesuatu parti itu dan melihat di mana mereka mendapatkan wang mereka. Ia juga membantu dalam menyiasat pelanggaran dalam pembiayaan kempen.

“Itu sebabnya penting mempunyai kesaksamaan dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), polis, Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kita tidak mahu situasi di mana pihak tertentu terlepas begitu saja bebas jika melanggar peraturan dan pihak lain dan penderma mereka disiasat," kata Wong.

Jaminan kesaksamaan

Maka, ini merupakan aspek yang paling penting dalam keseluruhan perdebatan: apa jaminannya yang dapat diperoleh apabila peraturan baru, dikuatkuasakan secara saksama?

Profesor Shaharuddin Badaruddin (gambar, kanan) merujuk kepada kes Najib dan mempersoalkan mengapa SPR belum memulakan siasatan terhadap presiden Umno dan pengerusi BN itu.

Sudah terdapat undang-undang menetapkan bahawa sebuah parti politik hanya boleh membelanjakan RM200,000 untuk berkempen dalam kawasan Parlimen.

"Jika BN membelanjakan RM2.6 bilion di setiap kawasan Parlimen dan kawasan negeri, mereka akan melanggar undang-undang di setiap daripada kempen tersebut," kata ahli sains politik dari Universiti Selangor (Unisel).

Terdapat 222 kerusi di kawasan Parlimen dan 505 kerusi di Dewan Undangan Negeri. Jika BN membahagikan RM2.6 bilion sama rata antara calon daripada semua tempat ini, setiap calon akan membelanjakan RM3.58 juta pada setiap kempen mereka.

"Oleh itu, jika sudah terdapat pelanggaran dalam undang-undang kita yang sedia ada, mana tindakannya?"

Masalahnya ialah walaupun terdapat peraturan yang baru, dengan menguatkuasakan peraturan tersebut, ia masih akan berada di bawah cabang eksekutif kerajaan, iaitu apa yang sedang berlaku terhadap SPR dan polis, kata Shaharuddin.

Dan walaupun dengan agensi separa bebas seperti SPRM, yang sedang menyiasat sumbangan RM2.6 bilion itu, ia masih terdedah kepada ugutan, sepertimana pegawainya disoal siasat polis dan pemindahan pengarahnya.

Jadi apa tujuan undang-undang baru itu, kata Shaharuddin, apabila tidak ada jaminan akan adanya keadilan?

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .