» » Tak yakin PAS akan sokong undi tidak percaya terhadap Najib Razak


DAP tidak yakin PAS akan menyertai parti pembangkang dan ahli Parlimen Barisan Nasional dalam mengemukakan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada sidang Dewan Rakyat yang akan datang.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata demikian walaupun pengarah pilihan raya parti itu Datuk Mustafa Ali menyatakan beliau menyokong usaha itu.

Lim berkata, sokongan yang dinyatakan Mustafa tidak membayangkan sikap sebenar PAS kerana perjalanan parti Islam itu selama ini sentiasa ditentukan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Mustafa bukan Hadi. Jika tidak, Pakatan Rakyat (PR) tidak akan pecah. Jadi, ia tidak relevan. Ia mesti Hadi sendiri (yang membuat pendirian itu)," kata Lim kepada media yang mendakwa perpecahan PR adalah kerana sikap Hadi.

Lim berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mustafa yang beliau setuju dengan cadangan mengemukakan undi tidak percaya kepada Najib.

"Secara peribadi saya setuju cadangan ini walaupun PAS belum bincang lagi," kata Mustafa kepada The Malaysian Insider.

Mustafa turut mengecam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berkata terdapat usaha untuk menggulingkan kerajaan dan ia bercanggah dengan Perlembagaan.

"Zahid jangan angkuh sangat seolah-olah usaha untuk menukar kerajaan ini sama dengan 'kudeta' (coup dé tat atau rampasan kuasa) dan tidak demokratik.

"Ia bukan guling kerajaan. Ada beza antara menukar kerajaan secara demokratik dengan menggulingkan kerajaan seperti kudeta ini," kata Mustafa.

Difahamkan terdapat usaha rancak untuk melobi ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang agar menyokong undi tidak percaya terhadap Najib berikutan pelbagai skandal yang melanda negara termasuk syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada Isnin, sebuah blog memaparkan 20 nama ahli Parlimen BN yang dikatakan menyokong usaha ini. Salah seorang daripada mereka sudah pun membuat laporan polis menafikannya.

Namun begitu, pendirian Mustafa berbeza dengan Hadi sebelum ini.

Bulan lalu, Hadi mengingatkan ahli Parlimen parti itu agar tidak menyokong usul undi tidak percaya jika diadakan di Dewan Rakyat bagi mendesak Najib meletakkan jawatan.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .