» » SPRM harap pelan pembiayaan politik berintegriti dilaksanakan segera untuk elakkan rasuah


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berharap kerajaan dapat segera melaksanakan pelan pembiayaan politik berintegriti bagi meningkatkan keyakinan parti politik dan rakyat.

Semasa menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) bagi merangka satu pelan pembiayaan politik, SPRM berkata ia bersedia memberi input dan pandangan kepada jawatankuasa itu.

"SPRM juga mahu pelan pembiayaan politik berintegriti yang hendak dibentuk itu memasukkan komponen yang mewajibkan anggota pentadbiran kerajaan sama ada di peringkat negeri ataupun persekutuan mengisytiharkan apa jua sumbangan derma dan hadiah yang diterima.

"Langkah ini penting bagi mewujudkan satu mekanisme yang menyeluruh," kata SPRM dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

SPRM berkata pengumuman Perdana Menteri itu seiring dengan saranan yang pernah dikemukakan oleh suruhanjaya itu menerusi panel bebas sejak SPRM ditubuhkan pada 2009.

Sebelum ini, SPRM mengesyorkan kerajaan mengkaji sumbangan dana politik supaya sumbangan itu hendaklah dimasukkan terus ke dalam akaun parti, dan bukannya ke dalam akaun persendirian mana-mana pemegang amanah.

"Ini bertujuan menjamin ketelusan terhadap mana-mana parti dan individu," kata SPRM.

Bagi membina persepsi positif dalam kalangan masyarakat, SPRM berkata sesebuah parti politik perlu mengisytiharkan apa jua punca kewangan dan akaun boleh diaudit oleh juruaudit bertauliah pada setiap tahun kewangan berakhir atau pada bila-bila masa bagi tujuan pemantauan oleh pihak berkuasa.

Menurut SPRM, ini dapat mengelak ahli politik yang disiasat menerima rasuah menjadikan alasan bahawa duit yang diterima dan dimasukkan dalam akaun persendirian merupakan sumbangan kepada dana parti politik sedangkan tiada sebarang butiran atau dokumentasi sewajarnya dikemukakan.

"Bagi dana politik yang ingin diberikan terus kepada individu dalam parti tertentu, ia hendaklah mendapat kelulusan bertulis daripada ketua parti masing-masing dan dana berkenaan hendaklah tidak mempunyai kaitan langsung dengan tugas rasmi kedua-dua individu yang menerima dan yang menderma," kata suruhanjaya itu.

Semalam, Najib mengumumkan JKNMPP akan merangka satu pelan pembiayaan politik berintegriti yang komprehensif dan inklusif.

Perdana Menteri berkata pelan tindakan pembiayaan politik berintegriti akan dihasilkan melalui pembaharuan dan penambahbaikan undang-undang yang diperlukan untuk disediakan dalam tempoh setahun dan seterusnya dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Pada masa ini, tidak ada peraturan mengenai pembiayaan politik yang boleh menentukan sesuatu itu salah atau tidak walaupun terdapat beberapa peraturan mengenai perbelanjaan pilihan raya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .