Siri siasatan dan serbuan polis terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sewaktu agensi itu masih menyiasat dana sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah satu kesalahan undang-undang, kata Mohamed Azmin Ali.
Timbalan Presiden PKR itu berpendapat tindakan polis itu satu campur tangan nyata dalam siasatan SPRM dan perlu dihentikan serta-merta.
"Di bawah Seksyen 48 Akta SPRM, menjadi satu kesalahan jika sesiapa menghalang siasatan SPRM.
"Tidak syak lagi, tindakan polis ini satu campur tangan terang-terangan dan perlu dihentikan serta-merta," kata Azmin yang juga menteri besar Selangor dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut seksyen yang dipetiknya: "Mana-mana orang yang mengamang, menghalang, menggalang atau melengah-lengahkan pegawai suruhanjaya dalam pelaksanaan kewajipannya di bawah akta ini melakukan sesuatu kesalahan."
Menurut Azmin, SPRM perlu diberi ruang secukupnya bagi menjalankan siasatan ke atas 1MDB.
"Justeru, saya menyeru semua rakyat Malaysia yang berpegang pada kebenaran serta parti politik dan pertubuhan sivil agar menyokong SPRM dalam menjalankan tugas mereka.
"Ini mustahak bagi memastikan sebarang kebolehpercayaan dalam siasatan 1MDB dapat dipulihkan," kata Azmin.
Sehingga semalam, polis menyiasat 7 orang pegawai tertinggi SPRM berhubung dakwaan kebocoran maklumat siasatan 1MDB.
Terkini, seorang lagi timbalan pengarah SPRM sedang disiasat polis di Putrajaya berhubung tuduhan sama – menjadikan jumlah terbaru 8 orang.
sumber
No comments: