Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan beliau bukan seorang yang mengamalkan prinsip "yes man" kerana sebagai pemimpin, beliau perlu menegur sekiranya berlaku kesilapan dalam pentadbiran.
Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, sejak digugurkan daripada Kabinet, beliau dilarang menyentuh isu membabitkan dana pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Isu tersebut menjadi punca beliau disingkirkan daripada Kabinet kerana sering mengkritik dengan lantang dan terbuka cara perdana menteri dan kerajaan mengendalikan syarikat milik Kementerian Kewangan itu.
"Kalau kawan kita buat sesuatu, kita tegur. Dia tengok kita dengan muka garang, kita sayang dia. Ini pandangan saya.
"Mungkin dia tak setuju. Tak apalah, dia bos. Yes bos!, You okay bos? Everything alright bos? Tapi saya bukan ‘yes man’!" katanya semasa berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita Umno Bahagian Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh di Johor hari ini.
Dalam ucapannya, Muhyiddin juga dilihat cuba untuk tidak menyebut perkataan "1MDB", sebaliknya perwakilan yang hadir menyebut nama syarikat itu.
"Saya diberi amaran jangan cakap pasal 1MDB. Sejak bila rakyat di Malaysia dikunci mulutnya. Apa isunya?" soalnya dan disambut laungan "1MDB" oleh perwakilan.
"Saya tidak sebut..." kata Muhyiddin dan menambah: "Mungkin mimpi pun kita akan fikir tentang apa?" Lalu perwakilan serentak menyahut: "1MDB".
Turut kelihatan di sekitar perkarangan kompleks sukan itu kain rentang yang tertera perkataan "Dare to Speak Out TSMY", merujuk singkatan namanya dan "Kami semua menyokong kepimpinan, tetap setia dan teruskan perjuangan parti" dengan gambar Muhyiddin memenuhi kain rentang tersebut.
Beliau dijangka merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Pagoh di lokasi sama esok.
No comments: