» » Ramai pengguna Twitter tidak percaya pada kerajaaan lagi kerana gagal siasat skandal 1MDB dan RM2.6 bilion


Kepercayaan terhadap Putrajaya di Twitter amat rendah berikutan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata firma penyelidik media sosial tempatan, dan menambah apa juga kenyataan dikeluarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atau Putrajaya tidak berjaya menambah tarikan.

Hasil dapatan Politweet mengenai bagaimana skandal 1MDB digunakan hingga tercetusnya desakan Najib meletak jawatan kerana salah pengurusan syarikat pelaburan milik kerajaan itu dan kerana menerima RM2.6 bilion ke dalam akaun bank peribadinya sebagai derma politik.

Maklumat salah mengenai 1MDB di Twitter kini sudah sampai ke peringkat di mana orang ramai masih berfikir RM2.6 bilion itu ada kaitan dengan 1MDB di sebalik fakta ia dinafikan oleh pihak berkuasa, kata firma itu.

“Salah maklumat sedia diterima sebagai kebenaran asalkan ia mengukuhkan kepercayaan sedia ada. Pengguna tanpa nama dianggap ada lebih kredibiliti berbanding agensi kerajaan.

“Kenyataan palsu yang tersebar di atas talian berjaya menjadi benar kerana penyokong Najib dan pembela 1MDB tidak ada capaian yang sama di Twitter.

“Pembetulan dan kenyataan penjelasan tidak sampai kepada khalayak massa, menyebabkan mereka terpengaruh dengan pengguna lebih popular,” kata Politweet dalam posting di blognya hari ini mengenai kajian persepsi terhadap 1MDB dan Najib.

Syarikat itu juga memberi amaran tekanan terhadap media sosial, yang dicadangkan menteri Kabinet baharu, mungkin akan memberi kesan yang terhadap dalam membendung berita palsu, tetapi ia mungkin boleh memberi kesan buruk kepada Putrajaya jika ia mula mengganggu pengguna berpengaruh.

“Laporan polis boleh digunakan untuk akaun palsu seperti @BeritaTV3,” kata Politweet, merujuk kepada akaun Twitter yang terkenal kerana menyebarkan berita palsu di bawah penyamaran nama stesen televisyen popular TV3.

“Namun, cubaan untuk kawal media sosial atau ganggu pengguna berpengaruh nampaknya akan menyebabkan kesan negatif dan pengguna akan bertukar kepada rangkaian lebih privasi seperti Whasapp, Facebook,” kata Politweet.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak sebelum ini berkata Putrajaya akan bertemu dengan syarikat media sosial seperti Twitter dan Facebook untuk menyekat “maklumat palsu dan khabar angin”.

Politweet berkata suasana negatif terhadap Najib tidak boleh meletakkan kesalahan terhadap pengguna Twitter yang berpengaruh semata-mata tetapi kepada siri dan kemuncak pelbagai insiden dan faktor menyelubungi 1MDB, umpamanya kejatuhan nilai ringgi serta isu kenaikan kos sara hidup.

“Pengguna berpengaruh ini tahu bagaimana menggunakan insiden ini untuk meningkatkan sentimen negatif. Biasanya mereka menggunakan kelebihan insiden sebenar bagi meneruskan kemarahan pengguna,” kata syarikat penyelidikan itu.

Kaji selidik itu juga mendapati bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad lebih efektif dalam memastikan rakyat terus berminat dengan 1MDB berbanding ahli politik seperti wakil rakyat PKR Rafizi Ramli dan Tony Pua daripada DAP.

Dr Mahathir mampu berbuat demikian walaupun beliau antara pengkritik yang lewat mengkritik isu itu jika dibandingkan dengan Rafizi dan Pua, yang berterusan menentang 1MDB sejak 2011.

Tuduhan terhadap 1MDB disebarkan secara meluas di Twitter sejak Mei, apabila pengkritik mendakwa dana bakal jemaah haji dalam Lembaga Tabung Haji digunakan untuk membeli tanah di Tun Razak Exchange untuk bail out 1MDB.

Cakap-cakap mengenai syarikat pelaburan itu paling hangat pada Julai apabila The Wall Street Journal dan Sarawak Report menyiarkan pendedahan mengenai wang bernilai RM2.6 bilion (AS$681 juta) ke dalam akaun bank peribadi Najib dan rombakan Kabinet yang menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin tersingkir daripada jawatan timbalan perdana menteri.

Satu lagi perkembangan berkaitan 1MDB yang mencetuskan paling banyak respons di Twitter ialah apabila Najib gagal hadir pada dialog #Nothing2Hide yang turut dihadiri Dr Mahathir.

Dr Mahathir yang tampil ke pentas selepas Najib tidak muncul, dihalang bercakap kepada khalayak yang sedang menunggu.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .