» » Penganjur BERSIH 4 lontar Cabaran Berat pada Najib Razak jika beliau berani


Kurang 10 hari daripada tarikh perhimpunan Bersih 4 pada 29 dan 30 Ogos depan, penganjur himpunan itu malam tadi bertindak menghangatkan suasana apabila melontarkan satu cabaran berat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah mempunyai mesej berikut buat Najib - izinkan mereka berhimpun tanpa sebarang kekangan dan jika tidak ramai turut serta, perdana menteri boleh menganggapnya satu pengiktirafan kepada pentadbiran beliau.

"Kalau kita gagal dapatkan orang ramai sertai Bersih 4, maka Najib boleh cakap saya dah bagi Bersih 4 (berhimpun) dan saya akan teruskan kuasa sehingga Pilihan Raya Umum ke-14.

"Pada masa ini, saya cadangkan pada Najib biarlah kami tunjukkan sama ada Bersih 4 akan berjaya atau tidak.

"Kalau kami gagal dapatkan ramai orang, Najib boleh lakukan reformasi institusi.

"Atau Najib boleh ke Parlimen dapatkan undi percaya terhadap dirinya," kata Maria pada forum ‘Bersih untuk Semua’ di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, malam tadi.

Maria membuat kenyataan itu sewaktu pihak berkuasa seperti polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) enggan bekerjasama dengan himpunan aman tersebut.

Bersih 4 sebelum ini membuat kenyataan yang mereka akan berkumpul sekitar kawasan berhampiran Dataran Merdeka dan berjanji tidak akan mengganggu persiapan sambutan Hari Merdeka 2015 yang akan dilakukan DBKL.

Polis kemudian meminta penganjur mengubah lokasi perhimpunan yang dirancang di ibu kota itu atas alasan lokasi berkenaan dianggap tidak sesuai.

Terkini lewat petang semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa berpendapat penganjur gagal mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012.

Katanya, polis menerima notis pemberitahuan daripada pihak penganjur semalam, namun dokumen berkenaan tidak lengkap kerana tidak menyertakan kebenaran pemilik lokasi berhimpun.

"Mereka boleh menghantar dokumen itu pada bila-bila masa sebelum tarikh perhimpunan itu diadakan, selepas menerimanya baru kami akan mempertimbangkan permohonan mereka," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Bercakap pada forum sama, Maria memberi jaminan himpunan itu "akan berlangsung dalam suasana pesta".

Beliau berkata, beberapa kumpulan muzik serta artis persembahan sudah menghubungi Bersih dan menyatakan minat mereka membuat persembahan sepanjang himpunan itu yang dijangka berlangsung selama 34 jam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli mengingatkan orang ramai agar mempersiapkan diri dan tenaga mereka bagi berhimpun selama 34 jam itu.

Katanya, ia berbeza sama sekali dengan himpunan Bersih 3 pada tahun 2013 yang berlangsung selama kira-kira 2 jam saja.

"Dulu buat 2 jam sahaja tapi tak cukup panas.

"Kali ini kita cuba build up (perhebatkan), kalau kita boleh bertahan bagi menayangkan tekad kita selama 34 jam ini, kita pasti boleh menyampaikan sesuatu," katanya sewaktu bercakap pada forum sama.

Turut bercakap pada forum malam tadi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Teja Chang Lih Kang serta Setiausaha Pengelola Pemuda PKR Ahmad Syukri Razab.

Himpunan Bersih 4 akan diadakan serentak di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur; Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah serta bandar utama di seluruh dunia.

Acara di Dataran Merdeka akan berlangsung selama 34 jam dalam menuntut pembaharuan seperti pilihan raya bersih, sebuah kerajaan yang bebas rasuah, hak untuk membantah, mengukuhkan demokrasi Parlimen dan menyelamatkan ekonomi.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .